Saifuddin nafi mohon maaf pada Sanusi, sedia bertarung di mahkamah

B Nantha Kumar

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan yang mengatakan dia memohon maaf kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE).

Setiausaha agung PKR itu sebaliknya berkata dia bersedia untuk berdepan dengan Sanusi di mahkamah.

"Saya mengajak Sanusi berdepan di mahkamah nanti, bertarung dengan hujah dan bukti.

"Bukan dengan fitnah yang sudah menjadi ‘makanan harian’ beliau," katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin berkata demikian susulan kenyataan yang tular di media sosial yang mendakwa dia telah memohon maaf kepada Sanusi secara terbuka selepas menuduh pemimpin PAS itu menyalahgunakan jawatan menteri besar dan pengerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) untuk mencuri REE atau terlibat dalam kecurian REE.

Saifuddin menuduh Sanusi sebagai dalang di sebalik dakwaan yang menuduhnya telah memohon maaf.

"Kes (di mahkamah) belum bermula. Peguam kedua-kedua pihak sedang uruskan dokumentasi.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab ini jelas suatu fitnah dari Sanusi yang terdesak akan guna semua taktik termasuk memaki hamun dan mencarut," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Menteri Besar Kedah untuk mendapatkan komen.

Untuk rekod, Sanusi sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Saifuddin berhubung kenyataan yang mengaitkannya dengan kecurian REE di Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Pasukan peguam pemimpin PAS itu memfailkan writ saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 3 Ogos lalu bagi menuntut Saifuddin membayar ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Sanusi turut menyaman setiausaha agung PKR itu berhubung dakwaan mengunakan wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) berjumlah RM1.6 bilion untuk tujuan yang bertentangan dengan undang-undang.

Saman sivil berkenaan berhubung kenyataan Saifuddin yang dibuat dua kali sebelum ini.

Pertama semasa sidang media di sebuah majlis anjuran KDN di ibu pejabat polis kontinjen Pulau Pinang pada 14 Julai, dan kedua diucapkan semasa program Jelajah Perpaduan Madani di Guar Chempedak, Yan, Kedah, pada 15 Julai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan