AKMAL MANAF
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menyiasat dakwaan rasuah melibatkan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Dr Radzi Jidin yang pernah menjawat jawatan Menteri Kanan Pendidikan di dalam pentadbiran terdahulu.
Gesaan itu dilakukan UMNO Wilayah Persekutuan hari ini susulan ada dakwaan bahawa Ahli Parlimen Putrajaya itu terlibat dalam pemberian kontrak penyelenggaran sekolah dan pencetakan buku J-Qaf.
Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar Ghulam Mustakim mendedahkan, beliau menerima dua mesej tular di aplikasi WhatsApp dua hari lalu, mengaitkan Radzi dengan beberapa individu dalam pemberian kontrak berkenaan.
“Mesej yang kita terima ini melibatkan dua isu yang besar di mana mesej ini perlu disiasat tentang isi kandungan dan juga kebenarannya.
“Mesej yang kita terima ini sebenarnya mempunyai mesej yang melibatkan kepentingan awam, dana dan juga wang negara.
“Mesej yang dihantar kepada kita itu berbentuk terlalu am. Jadi kita nak minta SPRM untuk siasat lebih dalam dan teliti tentang isi kandungannya,” katanya di hadapan Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, hari ini.
Berdasarkan kertas diperolehi, nama Radzi dikaitkan dengan pemberian kontrak kepada seorang kontraktor utama dikenali sebagai Dato Chia yang didakwa membolot semua projek selenggara sekolah.
Modus operandinya dengan pergi ke sekolah berstatus Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan menawarkan peruntukan ke sekolah secara terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM) tanpa melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa satu lagi mesej tular di WhatsApp, dikatakan mengaitkan Radzi dengan pemberian kontrak secara terus bagi percetakan buku J-Qaf untuk pra sekolah kepada individu bergelar Tengku.
Radzi menjadi Menteri Kanan Pendidikan pada Mac 2020 dalam kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan