Tambahan RM15 bilion dibuat tanpa perlu berhutang Untuk RMK12

Haspaizi Zain

Pertambahan RM15 bilion dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tidak akan menyebabkan kerajaan berhutang, kata Rafizi Ramli.

Sebaliknya kata menteri ekonomi itu, ia adalah bergantung kepada jumlah pendapatan negara yang dijangka terus meningkat.

Peningkatan kos itu, tambahnya, bagi menampung pelaksanaan pembangunan program yang dekat dengan rakyat dan mendapat perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kata Rafizi semasa RMK12 dibangunkan had itu diletakkan pada RM400 bilion namun ada banyak perkara yang memberi kesan kepada rakyat tak termasuk dalam berkenaan.

"Hasrat perdana menteri nak baiki sekolah daif, jalan daif, kilinik, tak ada (dalam peruntukan RM400 bilion), oleh itu perlu tambahan yang baru. Tambahan RM15 bilion menjadikan siling (meningkat kepada) RM415 bilion.

"Jangkaan kerajaan, defisit kekal tiga peratus... Kita yakin boleh berbelanja lebih tanpa kita berhutang lebih," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Rafizi mengulas pembantangan laporan kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 oleh perdana menteri hari ini.

Rafizi berkata RMK12 dilaksanakan ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 dan perubahan kerajaan memerlukan jajaran baru selaras dengan ekonomi Madani.

Dalam pada itu Rafizi berkata, kajian separuh penggal RMK12 bukan sekadar semakan, sebaliknya ia hampir kepada pelan ekonomi baru negara.

"Kajian separuh penggal ini adalah menyeluruh dan memberi gambaran terbaik bukan saja bagaimana kerajaan perpaduan mengubah dasar ekonomi, tetapi memberi kesan kepada rakyat," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan