Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
ABDUL Hamid melihat rumahnya di Kampung Besul Baru, Bukit Besi yang musnah dipercayai dibakar anak lelakinya. FOTO Rosli Ilham.
Dungun: "Saya ingat dia bergurau rupanya dia benar-benar lakukan perkara itu," kata Abdul Hamid Mohd, 66, yang kehilangan rumah selepas didakwa dibakar anak lelakinya, hari ini.
Dalam kejadian 2.30 petang itu, kediaman Abdul Hamid di Kampung Besul Baru, Bukit Besi musnah, selain kereta dan sebuah motosikal.
Menurutnya, dia dan isterinya terpaksa berpindah ke rumah anak perempuan yang berjarak tiga kilometer dari kediaman itu kerana bimbangkan keselamatan diri disebabkan anak lelaki sering bertindak ganas.
"Jadi kami biarkan anak lelaki tinggal sendirian di situ. Selepas solat Jumaat tadi, saya cadang singgah untuk tengok keadaan dia dan rumah.
"Dalam perjalanan itu, saya singgah di kedai untuk beli minuman dan tiba-tiba anak lelaki muncul di kedai itu, dia minta wang sebelum saya beri RM10.
"Sebaik menerima wang itu, dia kata dia sudah bakar rumah. Saya tanya dia, kenapa bakar rumah, dia diam tidak cakap apa-apa," katanya.
Abdul Hamid berkata, dia segera ke rumahnya dan tidak menyangka apa yang dikatakan anaknya benar-benar berlaku dan api sedang marak ketika itu.
"Saya tidak mampu nak buat apa-apa kerana api besar dan hanya mampu berdoa, berserah kepada Tuhan," katanya.
Difahamkan, suspek yang berusia 40 tahun itu sudah ditahan polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba Shariffuddin Ali berkata, sepasukan enam anggota dan jentera ke lokasi untuk memadam kebakaran.
"Api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 4 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan