WAN SITI AMINAH
Seorang wanita langsung tidak menyangka bahawa sang suami yang sangat rajin beribadah dan sering ke masjid rupa-rupanya mempunyai satu sisi gelap.
Tidak sampai setahun melayari bahtera rumah tangga, semuanya terbongkar setelah wanita tersebut menemui video yang tidak senonoh di dalam simpanan suaminya.
Malah, hati wanita itu juga hancur berkecai selepas mengetahui suaminya sanggup mengadakan hubungan intim dengan wanita lain yang merupakan isteri orang.
Sudah merasa ada sesuatu yang kena sebelum diijabkabulkan, wanita berkenaan menyesali keputusan untuk terus berkahwin dan mengabaikan petanda dari Tuhan.
Mahu memberi pengajaran kepada wanita di luar sana yang belum berkahwin, berikut adalah perkongsian wanita dikenali sebagai Mary.
“Perempuan kalau nampak petanda amaran pada lelaki sebelum kahwin, sila angkat kaki. Mungkin ada yang berubah selepas kahwin. Tetapi kebarangkalian untuk kekal dengan perangai lama itu sangat tinggi. Ini dari pengalaman saya sendiri. Masa bercinta memang tak pernah ada apa-apa yang mencurigakan.
“Orang sekeliling dia semua nampak baik-baik, berkerjaya. Dia bukan kaki lepak. Dalam Facebook (FB) dia pun tiada postingan yang tidak senonoh. Kami bertunang selepas beberapa minggu mengadakan pertemuan dengan keluarga. Masa itu aku dah cakap nak buat majlis biasa. Tetapi, Umi tetap dengan 1000 jemputan dia.
“Bab baju sanding pula semua aku dah buat keputusan nak ambil dengan butik mana. Tetapi Umi pergi ‘deal’ dengan orang yang sama macam adik-beradik lain. Sudahnya menyesal sampai hari ini sebab solekan dia macam hantu. Sepanjang tempoh bertunang tiada apa-apa isu.
“Sampailah lagi dua minggu tarikh nak kahwin. Tak tahulah kenapa masa pegang telefon, aku tiba-tiba search Instagram (IG) tunang. Bila tengok bahagian following aku terkejut gila. Kenapa baru hari ini tergerak hati nak tengok. Sebab following dia kebanyakkannya perempuan. Jenis perempuan yang macam menggoda.
“Ada postingan wanita seksi atas katil nampak lurah. Masa ini tangan aku gigil. Aku tengok komen dia dekat postingan perempuan-perempuan ini banyak ayat ‘padu’ dan ‘mantap’. Bila sudah rasa tenang baru aku Whatsapp dia tanya kenapa tengok benda-benda macam ini. Jawapan dia, IG sudah lama kena hacked (godam).
“Aku rasa macam tak logik. Sebab seminggu dua sebelum kejadian aku ada sahaja chat (berbual) dengan dia di IG. Takkan bukan dia yang reply. Memang dah rasa masa itu bahawa ini adalah petanda. Jadi dua hari lepas kejadian, aku terus terang dengan Umi, siap tunjuk IG bakal suami. Aku cerita dekat Umi dan Abi fasal hal ini.
“Ingatkan mereka akan sebelahkan aku. Tetapi jawapan Umi mungkin betul IG kena godam. Takkan nak batalkan kahwin pulak. Barang semua dah siap, katering dah tempah, baju dan mekap semua dah booked. Kanopi semua. Kata umi, ‘NANTI APA KATA ORANG’.
“Masa ini aku dah sedih dengar ayat Umi. Dari hal nak tempah kad kahwin, jumlah tetamu jemputan, sampai dah lepas apa yang aku cerita dekat Umi, dia cuma fikir ‘NANTI APA KATA ORANG’. Aku tak salahkan Umi dan Abi. Lelaki ini pun pilihan aku sendiri. Tiada paksaan. Masa pun berlalu, majlis tetap diteruskan.
“Jujur masa akad nikah aku memang rasa nak lari. Tetapi kaki ini kaku. Sampailah dalam beberapa bulan selepas kami berkahwin. Ada satu malam itu, aku baring macam biasa sambil tengok telefon. Aku diam sambil tengok sahaja apa yang suami buat. Rupanya dia buka IG dan tengok perempuan-perempuan seksi.
“Jadi di dalam gelap aku pun teruslah bersuara, ‘awak tengok apa ini’. Barulah suami cepat-cepat tutup telefon dan cakap tak tengok apa-apa. Dia tak mengaku dan cakap aku salah tengok. Padahal kalau bagi al-Quran masa itu, aku sanggup bersumpah. Aku baring sebelah dia kot. Apa yang aku salah nampak.
“Suami lupa ke dia dah kahwin? Lupa aku dekat sebelah dia? Dia fikir aku tidur mati? Ya, dia bukan kaki lepak, kaki mesin, kaki minum atau kaki pukul. Tetapi, kaki perempuan? Entahlah. Kami berbaik balik beberapa hari selepas itu tetapi rasa percaya dah kurang. Dalam hati terfikir, kenapalah tak lari pada malam nikah itu’.
“Kadang-kadang aku curi masa periksa Facebook dia. Memang semua nama-nama perempuan sahaja. Dalam banyak-banyak itu, ada satu nama perempuan yang dia kerap search. Tetapi aku tak rasa curiga sebab perempuan itu letak gambar dengan suami dia. Maknanya dia sudah berkahwinlah.
“Sampailah suatu hari ini, masa suami balik kerja dia bawa sekali beg kerja masuk ke dalam rumah. Malam itu dia siap-siap nak solat kat masjid dan bawa sekali beg itu. Mula timbul rasa curiga dalam hati aku. Dalam beg kerja itu ada data, laptop dan tab. Kalau simpan kat rumah lagi selamat. Letak dalam kereta nanti kena rompak.
“Gerak hati seorang isteri sudah rasa lain tetapi tunggu masa yang sesuai. Ada satu hari dia terburu-buru keluar and tak sempat nak bawa beg kerja. Aku pun cepat-cepat buka beg dia. Tak tahu kenapa tangan ini pilih nak ambil hardisk berbanding laptop atau tab.
“Aku buka hardisk dan periksa satu-satu. Terjumpa satu fail yang namanya macam musykil sedikit. Bila buka sahaja, aku mengucap panjang. Dalam itu ada video tak senonoh. Banyak juga fail gambar perempuan tunjuk atas bawah. Nampak macam tangkap layar dia buat panggilan video dengan wanita lain.
“Tangan menggigil tetapi teruskan juga periksa sampai jumpa satu fail yang betul-betul meremukkan hati. Video yang dia berzina dengan wanita lain. Hancur hati ini fikirkan betul ke dia suami aku? Suami yang rajin pergi masjid, kopiah tak pernah hilang atas kepala sepanjang aku kenal dia.
“Aku tak tahulah berapa ramai perempuan yang dia pernah tidur. Aku juga tak tahu sama ada perempuan itu sedar atau tidak yang suami aku sedang rakam. Rakaman panggilan telefon tak senonoh juga ada. Cuma masa ini aku belum mengecam lagi siapakah perempuan-perempuan itu.
“Aku buat salinan mana-mana yang dirasakan peting untuk simpanan aku. Lepas itu aku emas balik dan sempat padam history aktiviti. Aku buat macam biasa sehingga ada satu hari ini kami bergaduh. Dia tak pujuk-pujuk sambil mengadap telefon itu. Esoknya dia bangun mandi nak solat Subuh dan aku cepat-cepat buka telefon dia.
“Tangan ini terus tekan aplikasi Telegram, tak tahu kenapa. Terjumpa log perbualan dengan seorang wanita, tetapi isi mesej sudah dipadam. Orang lelaki memang tak faham kelebihan gerak hati isteri ini. Rasa ada sesuatu tentang perempuan ini. Selepas beberapa minggu, barulah aku sedar dia siapa.
“Perempuan dekat Telegram itu adalah orang sama yang suami aku selalu search di FB. Dia juga antara perempuan yang berzina dengan suami di dalam video yang aku tengok. Ikut butiran video, kemungkinan besar dia sudah menjadi isteri orang ketika mereka berzina.
“Aku masih diam tetapi tetap teruskan periksa telefon suami setiap kali ada peluang. Terjumpa mesej dengan perempuan lain pula di Telegram. Perbualan itu romantik sampailah wanita itu tiba-tiba diam. Tak lama wanita itu hantar mesej, ‘maaf line tak clear, suami ada’. Hai, sama naik hidung belang padahal pakaian atas bawah tutup.
“Satu hari aku bangun nak subuh, tengok suami tiada dah pergi masjid. Tiba-tiba tergerak hati nak periksa email suami. Ada pengesahan tempahan bilik hotel. Tarikh lagi dua hari bersama satu katil besar muat untuk dua orang. Aku tangkap gambar dan tutup email dia. Sehari sebelum tarikh, dia beritahu kena pergi kursus.
“Suami menipu. Dia kata syarikat dah uruskan satu bilik berkongsi tiga orang. Tak sebut fasal tidur di hotel. Takpe, aku biar suami pergi. Lepas dia balik aku buka Whatsapp suami dan ya, dia mesej perempuan itu. Beritahu tingkat dan bilik berapa.
“Tak fikir panjang, aku hubungi perempuan itu. Dia hanya mengaku selepas aku tunjuk semua bukti yang ada. Perempuan itu minta maaf dan janji tak kacau lagi. Tetapi wanita itu ulang lagi dan beritahu suami yang aku kacau dia. Suami lebih fikirkan perasaan wanita itu dan marah aku.
“Perempuan itu tetap teruskan walaupun aku dan bagi amaran. Ikutkan sudah tiga kali dia berzina dengan suami lepas kejadian pertama terbongkar. Memang tak boleh dimaafkan lagi. Sebab ingatkan diri untuk tidak menghakimi seseorang berdasarkan pakaian mereka. Macam kejadian inilah, siapa sangka?
“Aku ambil pil perancang tanpa pengetahuan suami. Tak nak susah kemudian hari. Ibu mentua pula tak habis cakap anak dia baik, tak main perempuan dan tak suka lepak. Kadang-kadang kesian tengok ibu mentua. Aku rasa anak lelaki yang duduk di dalam bilik lagi bahaya daripada mereka yang melepak di luar.
“Banyak lagi kejadian yang berlaku dan aku putuskan untuk meminta cerai. Harap semua dapat doakan proses ini berjalan lancar. Sebelum terkena apa-apa jangkitan baik aku pilih status Janda. Menyesal? Sangat menyesal. Kenapa tak angkat kaki bila nampak petanda itu.
“Aku menyesal kenapa tak lari masa hari akad nikah. Jadi nasihat aku, kalau belum ada ikatan tetapi sudah nampak petanda itu, fikirlah panjang-panjang. Tak mudah kita nak ubah orang. Suami adalah ketua keluarga. Dia yang kena jadi pembimbing. Aku dah lama sabar dan bagi peluang. Bila tak nampak hasil, berpisah jalan terbaik.
“Tak semua orang berkahwin mahukan penceraian. Aku tabik dengan wanita yang berani minta cerai kerana didera emosi dan fizikalnya. Jadi kalau sebelum kahwin dah nampak petanda, tinggalkan sahaja jika tidak mahu menyesal kemudian hari. Semoga urusan kita semua sentiasa dipermudahkan.
“Akhir kalam, aku mendoakan supaya tiada lagi wanita di dunia ini akan merasai apa yang sudah aku jalani. Semoga kita semua sentiasa bahagia dengan cara sendiri.” Tulis wanita yang bernama Mary itu menerusi hantaran yang dikongsikan di laman luahan atas talian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan