Bernama
Kesemua mereka ditahan pada kedudukan sekitar 0.91 batu nautika barat daya pantai tersebut. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia () Selangor merampas lapan bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 9 kilogram (kg) dan menahan 14 pendatang asing tanpa izin yang cuba menyeludup keluar dari Malaysia, di Pantai Kelanang, Banting, awal pagi semalam.
Timbalan Pengarah Operasi APMM Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata kesemua mereka ditahan pada kedudukan sekitar 0.91 batu nautika barat daya pantai tersebut.
Katanya satu vesel dalam keadaan mencurigakan telah dikesan di Perairan Tanjung Tongkah dan pihaknya kemudian mengatur gerak sebuah bot ronda bagi memintas vesel tersebut.
"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot terbabit cuba meloloskan diri dan berlaku adegan mengejar hampir 20 minit. Semasa adegan tersebut terdapat beberapa individu bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke hutan bakau Pantai Kelanang sebelum bot berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sharenliza berkata hasil pemeriksaan awal mendapati, bot tersebut tiada nombor pendaftaran dan terdapat sembilan penumpang wanita Indonesia, tiga lelaki Pakistan dan dua lelaki Indonesia dalam lingkungan umur 27 hingga 50 tahun tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Bot dan kesemua pendatang asing itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut dan telah menemukan dua beg di dalam bot mengandungi lapan bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat lebih kurang 9 kg," katanya.
Mohd Sharenliza berkata bungkusan tersebut diserahkan kepada pengawai penyiasat untuk tindakan lanjut dan difahamkan bayaran yang dikenakan untuk menyeludup pendatang asing melalui cara tersebut sekitar RM1,700 seorang dan warga asing berkenaan dipercayai hendak menuju ke Medan dan Dumai, Indonesia.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan, Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) kerana membawa masuk atau keluar pendatang asing dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan