2 beradik bergilir bawa ibu guna bakul ke hospital

Agensi
Dua beradik di China bergilir membawa ibu mereka ke hospital menggunakan bakul buluh. FOTO Douyin
Dua beradik di China bergilir membawa ibu mereka ke hospital menggunakan bakul buluh. FOTO Douyin
Beijing: Sungguh menyentuh hati apabila dua beradik di China sanggup bergilir membawa ibu mereka menggunakan bakul buluh untuk menerima rawatan di sebuah hospital.

Perbuatan adik beradik itu dan ibu mereka berusia 89 tahun dirakam seorang pejalan kaki di jalan raya di barat daya perbandaran Chongqing, lapor People's Daily.

Ketika mereka berhenti rehat, salah seorang daripada mereka dilihat menepuk pinggang bagi menghilangkan keletihan.

Chen Chuan, 58, dan adiknya Chen Li, 55, terpaksa menggunakan kaedah pengangkutan itu kerana ibu mereka mengalami mabuk kenderaan dan sakit kepala apabila duduk di kerusi roda.

Isteri Chen Li, Zhang Qingrong mendedahkan, ibu mentuanya tidak mahu bertemu doktor jika jatuh sakit.

Katanya, pada 23 Oktober lalu, ibu mentuanya mengadu tidak sihat sebelum dua beradik itu terfikir untuk menggunakan bakul itu untuk membawanya ke hospital.

"Sebelum ini mereka hanya mengendong ibu di belakang mereka tanpa bakul atau memeluknya dalam perjalanan ke hospital.

"Tapi kali ini mereka fikir lebih baik letak ibu mereka dalam bakul supaya lebih selesa sepanjang perjalanan," katanya.

Zhang berkata, adik-beradik itu mengambil masa lebih 20 minit untuk tiba ke hospital.

"Adik-beradik itu pernah bekerja di bandar lain sebagai pekerja asing.

"Tahun lalu, mereka pulang ke kampung halaman di Chongqing dan membuka restoran mi supaya mereka dapat menjaga ibu mereka setiap hari," kata Zhang.

Rakaman video itu tular menerima lebih 1.4 juta tontonan dan menerima lebih 60,000 komen.

Ramai netizen kagum dan terharu dengan perilaku ditonjolkan dua beradik itu dalam menyantuni ibu mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan