FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan suspek ketika mengugut tukang masak dalam kejadian di sebuah restoran di Bukit Mertajam, pagi semalam.
Warga tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan di rumahnya, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata polis menerima laporan dibuat tukang masak terbabit yang memaklumkan dia didatangi suspek di restoran di Taman Kota Permai itu.
“Dalam kejadian 7.55 pagi, mangsa yang juga warga tempatan memberitahu dia sedang memasak. Tiba-tiba suspek yang dikenalinya itu datang lalu bertindak membaling kerusi, mengeluarkan parang dan mengacukan kepadanya.
“Mangsa terus melarikan diri ke bahagian dapur dan pergaduhan dileraikan pelanggan yang berada di dalam kedai berkenaan. Mangsa tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Cheng San berkata, susulan itu polis membuat penahanan ke atas suspek dan merampas parang digunakan ketika kejadian untuk siasatan lanjut.
“Punca kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan