Mohsin Abdullah
PAS semalam memberitahu “setakat ini” ia tidak mengadakan perbincangan mengenai menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calonnya untuk PRK Kemaman yang bakal berlangsung. Imbau kembali secara ringkas PRK itu terpaksa diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu 26 Sept lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid yang diperolehnya pada PRU15 November lalu. Mahkamah berpuas hati wujud unsur rasuah ketika kempen dijalankan.
Berbalik soal Mahathir calon di Kemaman. PAS tampil dengan “penjelasannya” menerusi Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar. Selain berkata tidak ada perbincangan “setakat ini” (kata kuncinya setakat ini) beliau juga mendakwa hanya mendengar spekulasi media.
“Kami pun sebenarnya belum ‘sit down’ dalam kalangan pimpinan tertinggi PAS tentang persiapan menghadapi pilihan raya terutama penentuan calon. Tarikh nak bincang pun belum ada lagi,” beliau dilapor berkata.
Ertinya PAS “belum” membuat keputusan “setakat ini”. Pada hemat saya itu bukan penafian. PAS tidak menafikan secara terus bahawa Mahathir bukan calon di Kemaman. Benar pada masa sama tidak pula mengesahkan. Mungkin Mahathir, mungkin bukan. Tetapi Samsuri mengesahkan PAS tidak bercadang meletak calon Bersatu di Kemaman kerana ia kerusi tradisi PAS, dan beliau turut berkata segala kemungkinan boleh berlaku termasuk membawa calon luar walaupun tidak menolak kemungkinan mempertaruhkan Che Alias sekali lagi.
Sebelum itu, FMT memetik sumber yang rapat dengan Mahathir memberitahu PAS berkemungkinan meletak bekas perdana menteri itu di Kemaman. Apabila “sumber rapat” dengan Mahathir “mendedahkan” demikian adakah tindakan itu boleh dilihat sebagai isyarat orang beliau atau Mahathir sendiri kepada PAS untuk memilih beliau? Atau ia satu ‘preemptive move?’
Bagi saya sama ada Mahathir jadi calon PAS atau tidak bukan sesuatu yang memeranjatkan. Terutama jika beliau benar-benar dipilih. Ini bukan kerana PAS dengan terbuka menyatakan sudah memaafkan “kesalahan” (ada orang PAS gunakan istilah “mengampun dosa”) Mahathir masa lampau ke atas mereka. Bukan juga kerana Mahathir dan PAS kini berbaik dan bermesra. Dan bukan juga kerana kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pelantikan Mahathir sebagai penasihat di empat negeri diperintah PAS adalah kerana “faktor yang tersurat dan tersirat”.
Saya katakan tidak memeranjatkan berdasar sejarah hubungan Mahathir dan PAS. Pada PRU ketiga pada 1964 Mahathir menewaskan calon PAS untuk dipilih Ahli Parlimen Kota Setar. Sebagai wakil Umno dan Perikatan waktu itu Mahathir tentulah “berkelahi” dengan PAS. Dan PAS juga “menyerang” beliau.
Pada PRU tahun 1969 Mahathir dikalahkan oleh pemimpin PAS Allahyarham Yusof Rawa. Berikutan peristiwa berdarah 13 Mei tahun itu Mahathir mengutus surat terbuka yang mengkritik keras perdana menteri yang juga Presiden Umno Tunku Abdul Rahman. Salian surat itu diedar merata negara. Umno bertindak balas dengan memecat Mahathir.
Mahathir meneruskan serangannya terhadap Umno terutama Tunku Abdul Rahman menggunakan pentas PAS. Parti itu dengan senang hati memberi Mahathir platformnya kerana serangan ke atas umno dan Tunku yang dilancar bekas orang Umno amat meyakinkan, sesuatu yang menguntungkan PAS.
Mahathir puji PAS manakala PAS puji Mahathir. Pada masa sama kedua-duanya serang Tunku. Apabila Tunku terpaksa mengundurkan diri, Mahathir kembali ke pangkuan Umno dibawa masuk oleh Abdul Razak Hussein yang memimpin kerajaan dan parti waktu itu. Dan Mahathir pun “menyambung” persengketaan dengan PAS. Reaksi PAS tentulah kelahi dengan Mahathir. Pujian masa lalu dilupakan.
Persengketaan mereka berterusan pada tahun berikutnya. Dan bertambah panas apabila Perdana Menteri Hussein Onn yang juga presiden Umno melantik Mahathir sebagai timbalannya. Suasana panas sedia ada bertambah panas selepas Mahathir diangkat sebagai perdana menteri keempat apabila Hussein melepaskan jawatan.
Mahathir serang PAS dan PAS serang Mahathir menjadi-jadi. Pada 1981 Abdul Hadi Awang pemimpin PAS yang sedang mengukir nama menghasilkan apa yang disifatkan ramai sebagai Amanat Haji Hadi. Tercetus isu kafir-mengkafir. Umno pimpinan Mahathir mendakwa PAS sewenangnya mengkafirkan mereka. Perang Umno-PAS memuncak.
Pada 6 Ogos 1982 Utusan Malaysia melaporkan Mahathir menyarankan PAS dibubarkan supaya orang Islam di negara ini tidak berpecah-belah. Sehingga kini Hadi tidak menarik balik “amanatnya”.
Selewat 2018 selaku presiden Bersatu Mahathir menyerang PAS. Dalam laporan akhbar Harian Metro bertarikh 19 Sept tahun itu Mahathir menghuraikan mengapa beliau menentang PAS “sehingga hari ini”. Jelas “jasa” PAS kepadanya masa lampau dilupakan.
Mahathir mendakwa perpecahan umat Islam di negara ini tercetus angkara politik PAS yang taasub dengan ajaran pemimpin dan parti. “Inilah perbuatan PAS yang tidak boleh dimaafkan kerana sebelum tertubuhnya parti ini orang Melayu tidak berpecah kerana agama,” beliau dipetik berkata.
Mahathir juga membangkitkan tragedi Memali pada 1985 yang menyaksikan guru agama Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya terbunuh dalam pertembungan dengan polis. Ini dikaitkan Amanat Hadi.
PAS menyalahkan Mahathir yang dituduh kejam. Mahathir mendakwa beliau berada di luar negara semasa kejadian. Lantas Musa Hitam selaku timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri mendapati dirinya dituduh memberi lampu hijau kepada polis melancarkan operasi di Memali. Hanya pada 2016 Musa secara terbuka berkata beliau penat menanggung beban sejarah menjadi “kambing hitam” peristiwa Memali. Beliau mendakwa Mahathir berada dalam negara semasa peristiwa tercetus.
Tiga puluh tiga tahun selepas tragedi Memali, Mahathir masih berkata susulan peristiwa itu “mana-mana pejuang yang tersungkur tatkala menggenggam tekad melawan kerajaan Umno dan BN ketika itu diisytihar mati syahid sekali gus jenazah mereka tidak perlu dimandikan”.
Sekarang Mahathir dan PAS seperti dinyatakan pada awal artikel ini sudah diketahui umum akrab semula. Mengambil kira sejarah mereka kesimpulannya hubungan Mahathir dan PAS diibaratkan “love hate relationship”. Sekejap sayang sekejap benci. Hari ini keji esok puji demi matlamat masing-masing.
Dewasa ini masa untuk puji-memuji antara Mahathir dan PAS. Buat masa kini berpegang pendirian “kamu garu belakang aku, aku garu belakang kamu”. Janji “win-win situation”. Oleh itu jika PAS pilih Mahathir untuk mewakili mereka bertanding di Kemaman saya kata sekali lagi itu bukan memeranjatkan. Jika tidak pilih pun tidak memeranjatkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan