Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: "Saya tak nak komen buat masa ini," ini jawapan ringkas penyanyi popular era 90-an, To'ki mengenai dakwaan dia enggan membayar tunggakan sewa rumah mencecah RM3,600 hingga diberikan notis keluar.
To'ki, 58, atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur turut didakwa mengganggu jiran kerana bertukang di tengah malam selain membiarkan kawasan persekitaran rumah itu kotor.
Harian Metro sebelum ini mendedahkan dakwaan pemilik rumah, Liza Mohamad, 46, yang membuat laporan polis terhadap penyanyi lagu Seni Berzaman itu.
To'ki ketika dihubungi berkata, dia masih tinggal di rumah itu.
Menurutnya, dia masih menunggu makluman daripada pihak Baitulmal selepas pihak berkenaan memberi jaminan akan mendapatkan tempat tinggal baharu untuk dirinya sekeluarga dengan segera.
"Ya, saya masih duduk di sini (rumah sewa) lagi. Saya masih menunggu makluman terbaharu daripada pihak Baitulmal sebab mereka akan carikan rumah sewa baharu untuk saya. Insya-Allah, hari ni saya ada temu janji dengan mereka," katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan To'ki sudah tidak membayar sewa rumah sebanyak RM900 sebulan dan kini tertunggak dari Jun sehingga September.
Selain itu, bil elektrik juga tidak pernah dibayar yang kini mencecah RM7,000.
Malah, notis mengosongkan rumah itu juga difahamkan sudah diberi dan diterima oleh isteri To'ki, namun tidak diendahkan dan mereka kekal duduk di rumah itu.
Bagaimanapun, pemilik rumah memberi kebenaran kepada To'ki tinggal di rumah itu sehingga 31 Oktober ini selepas pertemuan bersama pegawai dari Baitulmal.
Pihak Baitulmal juga sudah melangsaikan tunggakan sewa dan bil elektrik itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan