BAIK ANWAR LUPAKAN SAJA NAK BAWA MASUK MCA SERTAI KABINET

Shahbudin Husin

Pada mulanya saya tidak mahu memberi sebarang ulasan tentang kenyataan seorang pemimpin MCA yang mahu Anwar Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan, sambil mencadangkan beberapa menteri juga perlu digugurkan.

Selain Anwar yang dimintanya melepaskan jawatan Menteri Kewangan, menteri yang dikehendakinya digugurkan ialah Rafizi Ramli, Mohamad Sabu dan Nga Kor Ming.

Sebagai tanggapan awal, saya tidak fikir kenyataan pemimpin MCA bernama Mike Chong itu merupakan pendirian rasmi MCA, manakala beliau pula bukanlah pemimpin yang dikenali sebelum ini.

Lebih daripada itu, Mike Chong juga tiada rekod pernah memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, jauh sekali ada berpengalaman jadi menteri atau timbalan menteri.

Jadi, bagi saya, tak perlu dilayan sangat kenyataannya itu.

Tetapi, memandangkan beberapa menteri seperti Mohamad Sabu sendiri dan Anthony Loke turut memberi respon terhadap kenyataan beliau itu dan dalam masa yang sama, MCA langsung tidak bersuara membantah, ia seolah-olah menggambarkan parti Cina itu setuju dengan kenyataan Mike Chong tersebut.

Dalam hal ini, apakah pendirian MCA sebenarnya terhadap kenyataan Mike Chong itu?

Sepatutnya, dalam keadaan Perdana Menteri mahu melakukan rombakan kabinet dan nama Presiden MCA, Wee Ka Siong disebut-sebut bakal dibawa kembali menyertai kabinet, nada seperti kenyataan Mike Chong itu tidak harus sama sekali dikeluarkan.

Bagaimana Perdana Menteri mahu membawa MCA berada dalam kabinet kembali jika belum apa-apa, ada pemimpinnya sudah tunjuk pandai mahu pemimpin tertentu digugurkan sebagai menteri?

Lebih celupar lagi, Anwar sendiri turut diminta melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan?

Dalam keadaan keceluparan paling tak wajar itu, bagaimanakah Anwar mahu memberi jawatan menteri kepada Presiden MCA?

Sebagai peringatan paling mudah, bersama keceluparan pemimpin MCA itu bersuara mahu menteri-menteri tertentu digugurkan, sudahkah beliau menatap cermin untuk melihat dan menyedari keadaan partinya sendiri di mata pengundi Cina?

Kalau setakat ada dua kerusi Parlimen saja mampu dimenangi, bersyukurlah jika diberi jawatan menteri dan selebihnya, akurlah dengan kebijaksanaan Perdana Menteri menguruskan perlantikan barisan kabinetnya.

Begitu pun, melainkan MCA segera menyanggah kenyataan Mike Chong itu, Anwar selaku Perdana Menteri tidak harus tidak terasa apa-apa dengan keceluparan ini.

Jika tiada penafian daripada MCA sendiri dalam waktu terdekat ini, lebih baik Anwar lupakan saja hasrat mahu membawa kembali Wee Ka Siong menganggotai kabinet.

Biarlah MCA duduk di pnggiran saja dalam kerajaan perpaduan ini. – ShahbudinHusin 05/10/2023.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan