FMT Reporters
Seorang anggota polis menyelamatkan pemandu sebuah kenderaan yang sedang tenggelam dalam kejadian banjir kilat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur petang tadi.
PETALING JAYA: Tiga anggota polis trafik sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan seorang pemandu yang hampir lemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya tenggelam dalam kejadian banjir kilat di terowong Jalan Chan Sow Lin petang tadi.
Menurut laporan Harian Metro, tiga anggota polis berkenaan diarahkan mengawal lalu lintas selepas beberapa jalan di Kuala Lumpur dilandar banjir kilat susulan hujan lebat.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Zulkafli Chek Lah berkata ketika tiba di jalan Chan Sow Lin, mereka melihat sebuah MPV jenis Nissan X-Trail terapung di terowong yang dinaiki air dan pemandunya terperangkap di dalam kenderaan.
“Melihat keadaan itu, salah seorang anggota berkenaan lantas terjun ke dalam air bagi menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu kereta berusia 27 tahun itu pada mulanya terperangkap kerana tidak dapat membuka pintu bahagian pemandu yang sudah ditenggelami air.
“Namun, lelaki itu berjaya keluar melalui pintu penumpang belakang yang masih terapung beberapa minit kemudian.
“Mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat dengan bantuan anggota terbabit,” katanya.
Menurutnya, tiga anggota polis yang terlibat menyelamatkan mangsa itu adalah Koperal Syed Syafiq Syed Halim, Lans Koperal Muhammad Afizul Ismail dan Lans Koperal Shahrip Kamaruzaman.
Terdahulu, hujan lebat di Kuala Lumpur menyebabkan beberapa jalan utama dilanda banjir kilat pada jam 6 petang tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan