Bunuh rakan selepas berang dibuang dari kumpulan WhatsApp

Agensi

Jakarta: Berang dibuang daripada kumpulan WhatsApp menjadi punca seorang lelaki membunuh rakannya sendiri.

Tribunnews melaporkan, insiden itu berlaku di Kampung Bojongmalaka, Baleendah, Bandung, Jawa Barat pada 29 Oktober lalu.

Mangsa, Adrian, 29, meninggal dunia dengan kecederaan akibat ditikam pada bahagian dada oleh suspek, Toto Toyiban, 36.

Ketua Polis Bandung, Kusworo Wibowo memaklumkan kes itu terbongkar selepas penemuan mayat pada 29 Oktober kira-kira jam 4 petang waktu tempatan.

"Ada tiga luka kesan tikaman iaitu di dada kiri menembus ke jantung, lengan dan jari kanan," katanya dalam satu kenyataan pada 30 Oktober.

Menurut Kusworo, identiti suspek diperoleh hasil siasatan di tempat kejadian.

Suspek pula ditangkap kira-kira 7 jam selepas kejadian, di rumahnya yang berada di Kampung Cibodas, Kampung Malakasari daerah Baleendah.

Kusworo berkata, kejadian itu berpunca daripada perbalahan di kumpulan WhatsApp diberi nama geng motor XTC Beer 188.

Ia dipercayai berpunca daripada kata-kata suspek yang dianggap mangsa sebagai ejekan.

"Sehingga keesokan harinya, suspek dikeluarkan oleh mangsa daripada kumpulan WhatsApp berkenaan, " katanya.

Kusworo berkata, suspek mengaku sakit hati dan tidak dapat menerima dirinya dibuang daripada kumpulan WhatsApp berkenaan.

"Kemudian suspek berjumpa dengan mangsa dan bertanya mengapa dirinya dibuang. Ketika bertemu, berlaku perbalahan dan perang mulut antara suspek dan mangsa.

"Akhirnya suspek mengeluarkan pisau iaitu senjata yang dibawa setiap hari ke mana saja seterusnya menikam mangsa," katanya.

Menurut Kusworo, kecederaan itu yang mengakibatkan mangsa meninggal dunia.

Berikutan itu, suspek didakwa dan kemungkinan berdepan hukuman penjara selama 15 tahun jika sabit kesalahan.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan