Demi Palestin: 'Seorang syahid, 10,000 bakal tampil'

Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my

Bumi Gaza, Palestin terus bermandi darah dengan serangan terbaharu rejim Zionis yang memusnahkan rumah penduduk di negara berkenaan.

Tindakan rejim Zionis itu tindak balas daripada serangan dilakukan oleh tentera pembebasan Palestin iaitu Hamas yang melancarkan serangan mengejut minggu lalu.

Apabila menyentuh isu Palestin, aktivis kemanusiaan, NADIR AL-NURI bukan nama asing lagi malah beliau adalah rakyat tempatan yang memilih untuk tinggal di Semenanjung Gaza serta menyalurkan bantuan terus kepada golongan memerlukan.

Kafe Ahad minggu ini menemubual Ahli Majlis Tertinggi My Aqsa Defenders itu yang berkongsi kisah perjuangan dan 'wasiatnya' kepada Penolong Pengarang Berita, YUSMIZAL DOLAH ALING bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN dan juruvideo HALIM SALLEH.

Apabila kita menyebut perjuangan Palestin khususnya Gaza, Nadir antara yang terkehadapan. Seandainya satu hari nanti tiada lagi nama Nadir al-Nuri ini di dunia, apakah pesanan serta wasiat Nadir sendiri?

Kalau kita lihat di Gaza khususnya, kalau ada seseorang itu syahid dan sebagainya akan ada kenyataan atau tagline bahawa kematiannya ini akan melahirkan lebih ramai orang yang lebih hebat daripadanya.

Sama juga keadaan apabila seorang pejuang Gaza iaitu Ibrahim Nablusi gugur syahid, kematian inilah yang akan menyebabkan 1,000 atau 10,000 orang akan lahir lebih hebat daripada Ibrahim Nablusi ini.

Saya tidaklah sehebat Ibrahim namun jika saya tiada atau gugur syahid kelak, saya wasiatkan anak-anak muda negara ini dengan perjuangan membebaskan Palestin.

Semangat perlu lebih hebat daripada Nadir, perjuangan perlu lebih hebat daripada Nadir dan pengorbanan perlu lebih besar daripada Nadir sehinggalah bumi Palestin itu terbebas, bukan kerana nama Nadir, tetapi menerusi nama-nama kalian.

Kita tahu bahawa keluarga Nadir iaitu anak serta isteri berada di Gaza sedangkan Nadir di sini (Malaysia), mungkin Nadir boleh kongsi perasaan ketika ini?

Saya akui bahawa saya juga manusia biasa yang tidak lari daripada memikirkan keselamatan keluarga di sana dan Gaza sebenarnya tiada kawasan selamat.

Semua kawasan di Gaza berisiko untuk dibom oleh rejim Zionis pada bila-bila masa namun setakat ini, Alhamdulillah, keluarga masih dalam keadaan selamat walaupun melalui detik cemas apabila ada pengeboman oleh Zionis yang terletak beberapa meter saja daripada rumah.

Allah SWT masih melindungi isteri saya apabila mereka tidak mengalami kecederaan namun bahagian depan rumah rosak teruk dan mungkin bangunan yang menempatkan rumah kami tidak boleh didiami selepas ini.

Selepas kejadian itu, saya ada melakukan panggilan video bersama isteri dan isteri menceritakan bagaimana cebisan daging manusia akibat bom terbabit dan kelihatan tangan yang sudah terpisah daripada badan.

Insiden pengeboman itu mengorbankan 11 orang dan saya mohon mendoakan keselamatan semua penduduk Gaza serta Palestin.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang tertanya-tanya tentang rutin harian Nadir di Gaza, apakah berbeza dengan Malaysia?

Kehidupan di Gaza dan di Malaysia sama saja, pagi ada keluarga yang akan menyiapkan anak-anak mereka ke sekolah, ada suami yang bersiap untuk pergi kerja dan begitu juga situasinya di Malaysia.

Dalam keadaan aman iaitu tidak berlaku serangan daripada rejim Zionis, rutin kehidupan kami sama saja, ada yang pergi ke pasar untuk membeli sayur, buah dan sebagainya.

Petang pula ada aktiviti riadah seadanya, kalau ingin mencari minum kopi juga ada di Gaza cuma tiadalah hidangan kopi yang ada di Malaysia ini.

Saya fikir kehidupan sama saja tidak jauh berbeza sama ada di Gaza atau Malaysia cuma di sana (Gaza) semuanya serba sederhana saja.

GAZA mengalami kemusnahan teruk selepas dibom berterusan oleh Israel. FOTO AFP
GAZA mengalami kemusnahan teruk selepas dibom berterusan oleh Israel. FOTO AFP
Kalau kita masih ingat dulu, nama Nadir turut 'dipetik' pihak tertentu kononnya tidak melaksanakan audit dan sebagainya, mungkin Nadir sendiri boleh beri penjelasan?

Alhamdulillah, tahun 2021 adalah rahmat untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang betul-betul buat kerja kerana ia mencabar kita untuk menjadi lebih baik.

Tahun itu juga menjadi bukti anak muda untuk membina kerjaya dengan NGO yang mempunyai kaedah pengurusan dana yang sistematik iaitu mempunyai audit dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) turut berkembang dengan baik.

Hari ini kita mempunyai 28 orang bertugas di Malaysia dan 25 orang di Gaza, jadi kita juga sedang dalam usaha menambah baik pengurusan dana sedia ada.

CGM sudah pun mendaftar dengan standard ISO dan kini sedang dalam usaha mengikuti standard prosedur pengurusan dana antarabangsa yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kita juga sudah mendaftarkan CGM ini di bawah Consultative Ecosoc di bawah PBB dan kita mengikuti standard antarabangsa.

Kalau kita letakkan standard tempatan (Malaysia) kita dapati masih terlalu rendah dengan kawalan perundangan yang saya kira lemah untuk mengawasi NGO ini beroperasi.

Saya terpaksa mengambil standard antarabangsa yang lebih efisien, sekali gus mewujudkan kebolehpercayaan orang awam terhadap CGM untuk menguruskan dana mereka.

Akhir sekali Nadir, apa yang rakyat Malaysia boleh bantu untuk perjuangan di Gaza, Palestin?

Untuk tempoh yang mendatang ini sangat kritikal untuk penduduk Gaza, pastinya rejim Zionis akan melancarkan serangan demi serangan memusnahkan apa saja.

Apa yang boleh kita bantu adalah mengirimkan doa untuk saudara kita di sana semoga Allah SWT memelihara keselamatan mereka dan memberikan kemenangan untuk umat Islam.

Kita juga ada melancarkan kempen di media sosial iaitu #IsraelKoyak dan penerimaan atau jangkauan pengguna di platform berkenaan adalah baik.

Saya harap anak muda kita di Malaysia jangan 'pancit terlalu awal' kerana saya jangkakan situasi genting di Gaza akan berlarutan dalam jangka masa yang agak panjang.

Kita perlu terus dengan usaha kita dalam kapasiti kita sendiri dalam membantu saudara kita di Palestin, Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan