Israel diserang, lebih 5,000 roket dilepaskan

AFP
Antara roket yang dilepaskan dari Gaza ke Israel. - FOTO AFP
Antara roket yang dilepaskan dari Gaza ke Israel. - FOTO AFP
Baitulmaqdis: Lebih 5,000 roket dilepaskan dari Semenanjung Gaza ke Israel hari ini menandakan bermulanya 'Operasi Banjir Al-Aqsa' oleh pejuang Hamas.

Kumpulan itu berkata, pihaknya mengisytiharkan operasi terbabit bagi menamatkan jenayah dilakukan Israel.

"Kami memutuskan untuk menamatkan semua jenayah pendudukan (Israel), masa mereka untuk mengamuk tanpa bertanggungjawab sudah berakhir.

"Kami mengumumkan Operasi Banjir Al-Aqsa dan kami menembak, dalam serangan pertama selama 20 minit, lebih 5,000 roket dilepaskan," katanya.

Seorang wartawan AFP di Baitulmaqdis melihat roket dipintas, beberapa saat selepas siren berbunyi di seluruh bandar.

Katanya, pelancaran itu dimulakan kira-kira 6.30 pagi.

Tentera Israel membunyikan siren amaran di seluruh kawasan selatan dan tengah negara itu, menggesa orang ramai yang tinggal berhampiran mendapatkan perlindungan.

Jabatan kecemasan Magen David Adom mengesahkan, seorang wanita berusia 60-an di Israel terbunuh selepas terkena serangan itu.

Katanya, 15 lagi mangsa cedera dengan dua daripadanya parah.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, perdana menteri akan memanggil ketua keselamatan dalam masa terdekat ke atas keganasan itu.

Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Gaza sejak 2007 selepas Hamas mengambil alih kuasa.

Sejak itu, pejuang Palestin dan Israel terbabit dalam beberapa siri peperangan yang dahsyat.

Serangan terbaharu itu menyusuli tempoh ketegangan yang memuncak September lalu apabila Israel menutup sempadan kepada pekerja Gaza selama dua minggu.

Penutupan lintasan itu berlaku ketika bantahan Palestin menggegarkan sempadan.

Penunjuk perasaan terpaksa membakar tayar dan membaling batu serta bom petrol ke arah tentera Israel, yang bertindak balas dengan gas pemedih mata dan peluru hidup.

Pengkritik mengecam penutupan sempadan sebagai hukuman kolektif terhadap ribuan pekerja Palestin, yang mempunyai potensi pendapatan jauh lebih besar di Israel berbanding di Gaza yang berdepan isu pengangguran tinggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan