'Jangan risau, saya Muslim. Kami tak akan sakiti kamu', kata pejuang Hamas

TEL AVIV: "Jangan risau, saya Muslim. Kami tidak akan menyakiti kamu," begitu kata seorang pejuang Hamas terhadap seorang wanita Yahudi yang menetap di selatan Kibbutz, Israel, ketika 'mengunjungi' rumahnya.

Pendedahan itu dibuat wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Rotem dalam rakaman video berdurasi seminit 25 saat, ketika temubual bersama seorang wartawan.

Ibu dua anak itu berkata, beberapa pejuang Hamas bertindak memasuki rumahnya yang menyebabkan beliau panik.

Rotem berkata, dalam tempoh dua jam pejuang Hamas berada di rumahnya, seorang daripada mereka memberi jaminan tidak akan menyakiti dirinya dan dua anaknya.

"Selepas meninjau keadaan rumah, seorang daripada mereka memberitahu saya dalam bahasa Inggeris 'jangan risau, saya Muslim. Kami tidak akan menyakiti kamu'.

"Ketika itu perasaan saya bercampur baur terkejut dan rasa gelisah," katanya melalui rakaman video yang dikongsikan dalam portal Middle East Monitor.

Pejuang Hamas mula menyerang selatan Israel pada 7 Oktober lalu melalui Operasi Taufan Al-Aqsa dan kini krisis itu menyebabkan ribuan nyawa terkorban.

Rejim Israel turut menyekat akses membabitkan elektrik dan makanan ke Semenanjung Gaza.
Seorang pemuda Palestin duduk di atas runtuhan rumah yang musnah berikutan serangan tentera Israel ke atas kem pelarian Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Seorang pemuda Palestin duduk di atas runtuhan rumah yang musnah berikutan serangan tentera Israel ke atas kem pelarian Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Pada masa sama, Rotem berkata seorang pejuang Hamas yang duduk di kerusi di ruang makan sempat meminta pisang untuk dimakan.

"Ada pisang di ruang makan dan seorang daripada mereka memintanya dan saya berikan," katanya.

Rotem berkata, selepas dua jam pejuang Hamas itu bertindak menutup pintu dan keluar dari rumahnya. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan