TERJEMAHAN SINAR HARIAN
Seekor kerbau malang terpaksa dibedah untuk mengeluarkan rantai leher pemiliknya di India. - Agensi
MAHARASHTRA - Seekor kerbau terpaksa dibedah gara-gara termakan rantai emas pemiliknya yang diletakkan dalam pinggan berisi makanan di Washim, Maharashtra, India.
Pemilik kerbau itu dilaporkan menanggalkan rantai lehernya dalam pinggan yang dipenuhi kacang dan dan sejumlah sekam padi, sebelum pergi mandi.
Selepas selesai membersihkan diri dan membasuh pakaian, dia memberikan sepinggan lagi makanan kepada kerbau itu dan menyambung kerja rumah semula.
Beberapa jam kemudian, wanita itu baru teringat dia meletakkan barang kemas itu di dalam pinggan lalu pergi memeriksanya.
Bagaimanapun dia menyedari kerbau itu telah memakan rantai leher bersama makanan yang diletakkan dalam pinggan tersebut.
Menurut portal Sanook, rantai leher hasil pemberian hadiah perkahwinan oleh suaminya itu bernilai 150,000 rupee (RM8,507) mengikut harga pasaran.
Tanpa melengahkan masa, dia memberitahu suaminya dan pergi berjumpa doktor haiwan untuk melakukan tindakan selanjutnya.
Doktor haiwan yang memeriksa perut kerbau itu dengan pengesan logam mengesahkan rantai leher dimakan haiwan tersebut.
Keesokkan harinya, kerbau itu menjalani pembedahan selama dua jam dan menerima kira-kira 60 jahitan untuk mengeluarkan rantai itu semula.
Kejadian jarang berlaku ini dianggap paling lucu oleh netizen selepas dikongsi di platform media sosial.
Mereka berkata, kesilapan dilakukan tuannya menyebabkan haiwan itu menanggung kesannya sehingga perlu dibedah. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan