Polis: Wanita bimbang diculik salah faham kerana pemandu e-hailing OKU
Polis menggesa orang ramai berhenti menyebarkan dakwaan bahawa seorang wanita diculik oleh pemandu e-hailing di Shah Alam dalam kejadian 27 Sept lain.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan media hari ini, mengesahkan wanita itu khuatir diculik apabila tidak dapat berkomunikasi dengan pemandu yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran.
“Semasa kejadian pengadu berada di tempat penumpang sebelah belakang dan bertanya kepada suspek untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi tidak dijawab serta pengadu melihat suspek tersebut sering kali melihatnya melalui cermin pandang belakang.
“Kerana bimbang keselamatannya pengadu telah bertindak turun daripada kenderaan semasa kenderaan tersebut bergerak perlahan di Jalan Temasya Glenmarie, Shah Alam. Pengadu juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun menggunakan kenderaan miliknya jenis Perodua Axia.
Menurutnya semakan mendapati suspek merupakan seorang pemandu e-hailing yang sah dan seorang OKU pendengaran yang mula bekerja sehari sebelum hari kejadian terbabit.
“Suspek juga menjelaskan beliau tersalah jalan disebabkan masih baru dan cuba membuat pusingan-U dan pada masa yang sama pengadu telah membuka pintu kereta keluar dari kenderaannya.
“Suspek kemudian meneruskan perjalanan kerana ada permintaan pelanggan lain,” katanya.
Semalam, majikan pengadu yang didakwa bercakap kepada Harian Metro mengenai pengalaman pahit itu selepas kejadian itu tersebar luas melalui media sosial.
Majikan pengadu itu juga menemani pengadu membuat laporan polis.
Tambah Mohd Iqbal, kes tersebut diklasifikasikan sebagai ’tiada tindakan lanjut’ kerana kejadian ini lebih kepada salah faham.
“Pengadu juga membuat laporan polis untuk menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini setelah mengetahui kejadian sebenar.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlalu terburu-buru mengeluarkan sebarang berita atau kenyataan khususnya dalam media massa bagi mengelak berita tidak benar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan