Mahkamah Kuching tolak cubaan ibu pinda agama anak Hakim Zaleha

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuching menolak permohonan seorang wanita untuk mengubah status agama anak lelaki remajanya daripada Muslim kepada Buddha.

Remaja itu yang menyambut ulang tahun ke-18 pada Rabu memiliki nama Muslim dalam MyKad, tetapi menurut ibunya mengamalkan agama Buddha sejak kanak-kanak tanpa dibantah bapanya.

Hakim Zaleha Rose Pandin berkata, permohonan ibu berusia 52 tahun itu bersamaan murtad seterusnya mahkamah sivil tidak boleh mendengarnya.

“Setelah meneliti fakta dengan teliti, kanak-kanak itu dilahirkan Muslim. Mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan murtad. Ia bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

“Sekalipun kanak-kanak itu tidak mengamalkan atau dibesarkan sebagai Muslim, seseorang tidak boleh membuat deklarasi secara unilateral. Ada proses bagi perkara ini,” katanya menurut laporan The Borneo Post.

Ibu berkenaan memfailkan saman pemula pada Ogos memohon deklarasi mahkamah bahawa beliau mempunyai hak untuk menentukan agama dan pembesaran anaknya.

Remaja itu menyambut ulang tahun ke-18 pada Rabu, iaitu usia dewasa. Undang-undang membenarkan ibu bapa hak menentukan agama kanak-kanak yang masih bawah umur.

Wanita itu yang sudah bercerai, mahu mahkamah mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara merekodkan pertukaran dalam MyKad anaknya itu berkaitan agama.

Anaknya yang dilahirkan di Sabah tetapi kini menetap di Sarawak, dilaporkan menganut agama Buddha sejak kecil. Ibu itu mendakwa bapa remaja itu tidak membantah anaknya mengikut ajaran Buddha.

Beliau juga mendakwa remaja itu tidak pernah menghadiri kelas Pendidikan Islam di sekolah, dan tidak mahu dianggap sebagai Muslim.

Pengarah bahagian kelahiran, kematian dan anak angkat JPN, pengarah bahagian kad pengenalan, pendaftar kelahiran dan kematian Sarawak, dan kerajaan persekutuan turut dinamakan sebagai defendan.

Wanita itu diwakili peguam Clarice Chan dan Joshua Baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan