Mentaliti: Buat jalan, bersihkan tandas

Mohsin Abdullah

Ini bukan analisis pilihan raya kecil DUN Pelangai pada Sabtu lalu yang seperti dijangka dimenangi Barisan Nasional. Ini sekadar mencatat dua faktor yang mengamit perhatian saya.

Satu: ada bukti pemindahan undi sangat tinggi dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan bukan Melayu kepada BN. Ini jelas berlaku di daerah mengundi Manchis, Sungai Gapoi, Telemong, dan Sungai Perdak di mana pengundi Melayu bukan majoriti. Ertinya PH tolong BN.

Apa pula yang BN boleh atau akan lakukan untuk tolong PH pula pada pilihan raya mendatang, tak kiralah di mana ia diadakan kelak. Itu BN kena sendiri fikir. Tak bolehlah ambil tapi tak beri.

Dua: Perikatan Nasional menang Felda Kemasul dan Felda Kemahal. BN menang Felda Chemomoi. Jika diambil kira sumbangan Perdana Menteri Razak Hussein dan jasa anaknya, Najib (sebelum terdedah skandal 1MDB khususnya), kekalahan dua daripada tiga kawasan Felda mendukacitakan BN. Apatah lagi ia terletak di Pahang negeri asal Razak dan Najib. Sepatutnya BN menang tiga daripada tiga. Sebelum ini ia sendiri yakin dapat melakukannya. Felda untuk sekian lama kubu kuat Umno-BN dan menjadi ‘bank undi’ dan ‘simpanan tetap’.

BN kena sendiri fikir juga mengapa tidak dapat sapu bersih kawasan Felda di Pelangai dan bagaimana memastikan tidak kehilangan kawasan Felda lain di seluruh negara apabila pilihan raya masa depan diadakan.

Bercakap mengenai PRK Pelangai, antara modal kempen BN ialah ia telah membawa pelbagai kemudahan dan akan terus membawanya ke daerah berkenaan. Antaranya pembinaan jalan. Respon Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar ketika berucap pada satu ceramah PN begini:

“Buat jalan, ada orang dia memikir siapa buat jalan raya. Tuan-tuan sekalian kalau setakat buat jalan lah babi dalam hutan pun buat jalan. Siapa rajin masuk hutan? Rajin tak? Kan nampak kan lorong. Babi pun buat. Siap dua tingkat lagi. Tol pun tak dak.”

Jalan yang bagus memang diperlukan kita semua. Sama ada jalan raya mahu pun lebuh raya, di mana-mana pun termasuk kawasan Felda yang dimenangi PN Sabtu lalu. Tanpa jalan bagus yang dalam keadaan baik bagaimana hasil kerja keras peneroka mahu dibawa keluar untuk mendapat ganjaran. Maka jalan antara prasarana paling penting. Adakah PAS tidak tahu akan ini semua?

Mereka tahu. Cuma dalam keghairahan menangkis hujah lawan dan untuk meraih undi, usaha membuat jalan di persenda dan diremehkan. Tentu jenaka perli seperti disebut orang kuat PAS tadi pada pendapat partinya akan suka didengar hadirin ceramah. Betul jangkaan itu. Pendengar terhibur.

Satu lagi kemudahan yang amat diperlukan ialah tandas walaupun ramai tidak gemar bercakap mengenainya secara terbuka atau di depan khalayak. Mungkin kerana merasa jijik, geli, atau tidak sopan. Entahlah.

Suatu waktu dulu saya pergi ke pejabat seorang kawan. Dalam tandas pejabat ada kertas tanda tertera“ anda tidak berak dalam mangkuk puntung rokok mengapa mesti buang puntung rokok dalam mangkuk berak?”

Mengikut kawan saya ramai pengguna tandas itu tidak menjaga kebersihan dan tidak tahu cara betul menggunakan tandas. Bukan sahaja puntung rokok dicampak ke dalam mangkuk tandas, ada juga yang mencangkung di tandas duduk. Mungkin anologinya kurang tepat tetapi kata kawan saya mesej yang disampaikan ialah kalau tandas di rumah kamu pandai jaga kebersihan mengapa mesti kotorkan tandas di tempat lain.

Semasa kesempatan megerjakan umrah beberapa tahun lalu, didapati tandas di beberapa tempat persinggahan di lebuh raya luar kota Makkah dan Madinah keadaanya nauzubillah min zalik (mungkin sekarang sudah berubah, waulallahualam). Seorang jemaah terdorong berkata “tandas dalam R&R highway Malaysia boleh tidur dalamnya tau”.

Dulu tandas awam di negara ini ada juga yang kotor. Sekarang banyak tandas awam bersih terutama di bandar kerana diselenggara pihak berkuasa. Begitu juga di pusat membeli belah dan sebagainya. Tetapi ini kerana ada pekerja yang ditugas menjaganya. Namun tidak boleh dinafikan ada lagi yang tidak menyenangkan termasuk tandas masjid dan surau juga sekolah. Kalau tidak kotor pun tidak boleh dikira bersih. Apabila tandas di tempat beribadat tidak bersih ia sesuatu yang menyedihkan.

Begitu juga sekolah. Mesti tip top untuk memberi keselesahan kepada pelajar (guru biasanya ada tandas sendiri yang jauh lebih bersih daripada tandas pelajar) di samping menjamin suasana yang boleh menghindari penyakit berjangkit.

Ini semua kita tahu tetapi apabila ada saranan tandas mesti dijaga dengan rapi, ada yang memperleceh dan persendakan hanya kerana saranan dibuat oleh Anwar Ibrahim si perdana menteri.

Musuh politik cepat ambil kesempatan. Ada juga rakyat yang ikut sama. Diakui rakyat mahu Anwar lakukan pelbagai perkara “besar” dan menyelesaikan bermacam masalah “bukan cakap pasal jamban,” kata mereka.

Tetapi apa yang Anwar saran memang mustahak. Untuk berlaku adil perlu dinyatakan bukan soal tandas sahaja yang beliau perkatakan.Banyak lagi isu. Cuma saranan pasal tandas diviralkan. Seperti Maszlee Malek dulu semasa menjadi menteri pelajaran yang bercakap lebih sejam mengenai dasar pendidikan negara tetapi yang dapat “highlight” ialah pelajar kena pakai kasut hitam.

Apa pun mengenai soal jalan dan tandas yang dicoret artikel ini, kesimpulan terbaik pada hemat saya dibuat pengarah operasi Ilham Centre Azlan Zainal menerusi catatan di Facebook. Antaranya berbunyi:

“Kita seperti di alam lain, bercakap lain, faham lain, bertindak lain. Orang membuat jalan kita kata babi juga buat jalan. Dalam agama menyingkirkan duri di jalanan pun dianggap sedekah dan kebaikan.

Kita beriya memuji tandas negara lain cantik, bila tandas kita bersih kita kata tak penting, membazir dan sebagainya. Sedangkan menjaga kebersihan itu sunnah yang dicintai.”

Saya sambut dengan Ameen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan