Mufti Perlis jawab dakwaan pernikahan Sabri dan Angeline tak sah

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI SITI

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tampil menjawab dakwaan berkenaan perkahwinan pasangan pelakon yang dikatakan tidak sah.

Mohd Asri berkata, pernikahan tidak seharusnya dirumitkan dengan syarat-syarat yang ketat sedangkan ia sangat mudah ketika zaman Nabi Muhammad.

“Sesiapa yang membaca hadis-hadis nabi, dia akan mengetahui bahawasanya akad nikah memang mudah. Yang penting ialah cukup rukun, adanya ijab dan qabul.

“Ijab dan qabul ni maksudnya adanya kita memberikan satu tawaran perkahwinan dan satu pihak lagi menyambut tawaran perkahwinan itu. Tak adalah dalam agama ini kata dalam satu nafas, kena hafal balik perkataan yang akad tu.

“Apabila dia kata aku terima apa yang disebutkan, maka berlaku ijab dan qabul,” katanya dalam satu penjelasan video.

Beliau berkata, sesuatu pernikahan dikira tertunai apabila cukup rukunnya seperti pengantin lelaki, pengantin perempuan, dua orang saksi, wali, dan ijab dan qabul.

Sebelum itu seorang ulama, Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari mendakwa pasangan yang dinikahkan Mufti Perlis itu tidak memenuhi ucapan ijab dan qabul yang sepatutnya.

Ketika akad nikah berlangsung, Sabri mengucapkan dengan ringkas yang menyebut “saya terima dengan seperti yang disebutkan”

Justeru, katanya pernikahan itu tidak sah kerana pengantin tidak menyebut akad yang menerima nikahnya.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, akad nikah hanya terbatal apabila pengantin lelaki berlengah-lengah ketika menjawab akad nikah.

Dengan itu, ia juga bermaksud akad nikah tidak bergantung kepada ayat yang diucapkannya semata-mata.

“Orang yang mengajar ni kadang-kadang kalau nikah ni buat main-main pun jadi nikah. Aku nikahkan kau dengan anak aku dan dia pun terima, terus jadi.

“Tapi bila time betul-betul nak akad nikah, dia letakkan pada satu nafas, huruf demi huruf, perkataan demi perkataan. Yang penting adalah adanya ungkapan yang mengatakan bernikah dengan siapa dinikahkan.

“Selain itu nikah boleh tak sah apabila terputusnya majlis dalam kadar yang lama. lepas dia angkat, dia tawarkan pernikahan, lepastu dia diam minum kopi dulu, sembang dengan kawan sebelah, kemudian barulah nak jawab akad nikah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan