PENDUDUK Gaza menaiki kereta yang mengalami kerosakan dalam usaha melarikan diri ke Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Baitulmaqdis: Penduduk Gaza, pada Jumaat, mula berkongsi wasiat mereka dalam talian, selepas media Israel mendakwa operasi darat akan dilancarkan terhadap Semenanjung Gaza.
Agensi Anadolu melaporkan, dalam wasiat itu, mereka memohon ampun atas kesalahan sekiranya sesuatu berlaku.
"Sesiapa yang mempunyai hak atau tuntutan terhadap saya, maafkan saya. Saya sudah memaafkan kamu, jadi tolong maafkan saya," tulis Ihab R Sulaiman, dalam hantaran di Facebook (FB).
Sementara itu, Pasukan keselamatan Israel sedang bersiap untuk memasuki Semenanjung Gaza melalui darat, tetapi menunggu kelulusan di peringkat politik, menurut laporan televisyen Channel 14 Israel.
"Jika operasi darat diluluskan, tentera Israel bersedia untuk tinggal di sana (di Gaza) selama beberapa bulan lagi.
"Matlamat jelas tentera pada peringkat ini adalah untuk melumpuhkan pensenjataan di Semenanjung Gaza," katanya.
Pihak berkuasa Israel masih belum membuat kenyataan berhubung laporan itu, namun tentera Israel menyatakan tentera udara menjatuhkan 6,000 bom di kawasan yang digunakan oleh Hamas dan gerakan Jihad Islam dan melakukan serangan udara berskala besar di Gaza.
Sayap bersenjata Hamas, Briged Izz ad-Din al-Qassam, melancarkan serangan menyeluruh ke atas Israel pada awal 7 Oktober, yang dipanggil Operasi Banjir Al-Aqsa.
Ketika ribuan roket dilepaskan dari Gaza ke arah Israel, kumpulan bersenjata Palestin menyerbu dan merampas pintu sempadan Beit Hanun-Erez di sempadan Gaza-Israel.
Kumpulan bersenjata kemudian memasuki penempatan dalam Israel dan susulan itu, tentera Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza dengan puluhan pesawat perang.
Dilaporkan, sekurang-kurangnya 1,300 warga Israel terbunuh dan 3,300 cedera dalam serangan yang dilakukan dari Gaza.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan 1,537 penduduk, termasuk 500 kanak-kanak dan 276 wanita, terbunuh dan 6,612 cedera di Gaza semasa serangan Israel.
Seramai 31 rakyat Palestin maut dan 180 individu cedera dalam serangan tentera Israel dan peneroka haram Yahudi di Tebing Barat.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan