Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
Ampang Jaya: Seorang wanita dilarikan dua individu termasuk suaminya sendiri kerana enggan mendaftar perkahwinan secara sah di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang, 12 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 38 tahun yang juga isteri ketiga suspek jam 11.30 malam.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam lif pangsapuri berkenaan diminta oleh dua individu tidak dikenali untuk berjumpa suaminya yang juga seorang pengurus pusat tahfiz.
"Mangsa kemudiannya akur dan berjumpa suaminya itu sebelum dilarikan suspek menaiki sebuah kereta," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah homestay di Pasir Puteh, Kelantan.
"Mangsa mendakwa terpaksa mengikut suaminya itu tanpa kerelaan dan dikurung dalam homestay berkenaan.
"Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri keluar dari homestay terbabit jam 12.30 tengah hari pada 13 Oktober sebelum ke balai polis dengan bantuan penduduk kampung berhampiran untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Azam berkata, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan terhadap dua individu di Taman Ampang Mewah di sini pada Khamis.
"Suspek pertama diberkas adalah suami mangsa berusia 39 tahun serta memiliki rekod jenayah lampau manakala suspek kedua adalah rakannya yang berusia 30 tahun bekerja sebagai pembantu tahfiz.
"Siasatan mendapati kejadian berpunca mangsa enggan mengikuti suspek untuk bercuti di Kelantan serta enggan untuk mendaftar taraf perkahwinan," katanya.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan