Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video yang tular di media sosial
Kluang: Pencsaiaga yang menyertai Jelajah Makan Johor di Dataran IKS Simpang Renggam di sini, bengang dengan tindakan penganjur yang membiarkan 'aksi gelek' mencemari karnival itu sehingga ia terpaksa dibatalkan.
Akibatnya, mereka mendakwa mengalami kerugian selepas pihak berkuasa mengarahkan karnival terbabit dibatalkan serta-merta berikutan rakaman video tarian kurang sopan pengunjung itu tular di media sosial dan menerima kecaman orang ramai.
Peniaga yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka sepatutnya berniaga di situ sehingga Ahad ini, namun dia terpaksa menanggung kerugian tidak balik modal selepas karnival itu dibatalkan.
"Barang mentah kami sudah beli dengan banyak, termasuk menanggung kos logistik. Ada peniaga datang dari jauh seperti Pahang dan Kelantan.
"Pembatalan terus (Jelajah Makan Johor) ini menjadi bebanan buat peniaga kerana kami tak mampu membayar gaji pekerja, " katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dia juga berpendapat, pihak berkuasa sepatutnya mengarahkan penganjur membatalkan acara hiburan dan pentas sahaja, bukannya membatalkan keseluruhan karnival makanan itu.
Dalam pada itu, penganjur Jelajah Makan Johor dalam kenyataannya di Facebook Jelajah Bazaar Lelong Johor tampil memohon maaf berhubung insiden berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pihaknya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian itu dan menghargai teguran diberikan, selain berjanji perkara itu tidak akan berulang lagi.
"Selaku penganjur Jelajah Makan Johor yang bertempat di dataran IKS Simpang Renggam, dengan ini memohon maaf kepada semua warga Simpang Renggam dan juga kepada pihak berkuasa tempatan terutamanya Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di atas kejadian yang viral (tular).
"Sesungguhnya kesilapan itu berlaku atas kelemahan kami sendiri yang gagal mengawal pengunjung yang datang untuk berhibur. Tiada niat lain dari kami semasa menganjurkan program ini selain untuk memeriahkan program anjuran kami. Namun atas kelemahan, kami gagal mengawal tindak tanduk pengunjung yang telah mencemarkan nama baik MDSR," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan