Restoran paksa pekerja Muslim tanggal hijab kena saman

KOSMO!
Sebuah cawangan restoran Chipotle yang terdapat di Lenexa, AS. - Foto Google Maps
WASHINGTON – Sebuah agensi persekutuan Amerika Syarikat (AS) mendakwa restoran Chipotle di mahkamah atas tuduhan bahawa sebuah cawangannya melakukan gangguan agama, lapor portal berita Wion News semalam.

Penolong pengurus cawangan restoran itu di Lebexa, Bandar Kansas didakwa memaksa seorang  gadis beragama Islam berusia 19 tahun yang merupakan pekerjanya,  menanggalkan tudung pada 2021.

Tindakan undang-undang itu difailkan  Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (EEOC). Agensi berkenaan bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang persekutuan AS  termasuk  melarang sebarang bentuk diskriminasi.

Saman itu menyatakan bahawa pada 2021, seorang penolong pengurus cawangan Chipotle di Lenexa berulang kali mengganggu pekerjanya dengan meminta gadis Muslim berkenaan mendedahkan rambut walaupun dia berulang kali menolak melakukan perbuatan tersebut.

Keadaan menjadi semakin buruk selama beberapa minggu, malah penolong pengurus tersebut secara fizikal menyambar dan menarik tudung gadis  itu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Chipotle, Laurie Schalow yang mengulas isu tersebut berkata, syarikat berkenaan menggalakkan pekerjanya  melaporkan sebarang kebimbangan  termasuk melalui talian panas tanpa perlu mendedahkan nama mereka.

“Kami mempunyai toleransi sifar terhadap sebarang bentuk diskriminasi dan kami telah memecat pekerja terbabit,”katanya menerusi e-mel. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan