‘Ustaz Pas’ disindir, Ketua Pembangkang pun pernah jadi ‘jurunikah’

HarapanDaily.com
‘Ustaz Pas’ disindir, Ketua Pembangkang pun pernah jadi ‘jurunikah’
Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad yang digelar ‘Ustaz Pas’ menjadi bahan sindiran warganet selepas mengaitkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution sebagai ‘jurunikah’ kepada pasangan bukan Islam.

Hassan juga dikecam orang ramai kerana dilihat tidak menyiasat terlebih dahulu video yang memaparkan Saifuddin sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan muslim di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN pagi semalam.

Malah lebih mengejutkan, wakil rakyat berusia 66 tahun itu mungkin tidak tahu tentang pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam yang boleh melibatkan menteri, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan timbalannya serta kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan.

Susulan ‘keterlanjuran’ Hassan yang dilihat cuba untuk membina naratif jahat mengaitkan pimpinan Kerajaan Perpaduan dengan isu sensitif agama, netizen bertindak ‘menyekolahkan’ pesara guru itu.

Antaranya, menyebarkan gambar dan video Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menjadi Menteri Dalam Negeri yang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan Sham Neng Yao dan Charlene Lau Yik Ying pada Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara Tahun 2022 di Ibu Pejabat JPN, Putrajaya.

“Kenapa delete posting… ustaz jenis suka memfitnah dari bertabayun… ustaz ke ni?

“Dengar cerita parti Islam lantik ‘jurunikah’ ni jadi Ketua Pembangkang.

“Geng kau, tau pula senyap je… Hamzah pun buat benda sama waktu jadi Menteri KDN.

“Ustaz, jangan lupa kawan sekapal ni pun jadi ‘jurunikah’,” demikian antara cemuhan dan sindiran orang ramai.

Terdahulu, Hassan menerusi kenyataan permohonan maaf di Facebook rasminya, “Ustaz Hassan Saad” menyalahkan salah seorang pentadbir laman media sosial itu.

Yang Dipertua Pas Baling itu berkata, hantaran dengan tanda soal, “Sejak bila Pudin jadi jurunikah untuk pasangan bukan Islam? Nauzubillahi min zalik” itu bukan dia yang lakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan