Malaysiakini
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5.59 juta.
Bagaimanapun, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah.
"Tidak bersalah dan mohon dibicarakan (bagi pertuduhan berkenaan)," katanya sejurus semua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Semua 18 pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613]).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana lebih tinggi.
Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful minta dibicarakan atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Pertuduhan pertama kerana meminta rasuah dalam jumlah yang tidak ditentukan dan kedua kerana menerima rasuah RM6.96 juta antara 8 Julai dan 30 September tahun lalu.
Dia dituduh meminta rasuah daripada individu bernama Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek "Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur" daripada kerajaan persekutuan.
Projek itu sepatutnya bernilai RM232 juta.
Pertuduhan kedua - Wan Saiful didakwa menerima, melalui syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, wang RM6.96 juta daripada Nepturis sebagai dorongan untuk membantunya mendapatkan surat anugerah bagi projek yang sama.
Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.
Pada 29 Mei lalu, Wan Saiful memfailkan permohonan untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan dengan alasan dakwaan yang dikemukakan ke atasnya adalah cacat tetapi ditolak mahkamah.
Jana Wibawa atau “Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa”, merupakan program perangsang untuk kontraktor bumiputera susulan Covid-19.
Ia diperkenalkan semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin pada November 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan