The Merdeka Times
ANTARABANGSA(VIDEO) 20 tentera Israel bunuh diri, termasuk bakar diri sendiri, akibat trauma perang.
Sebuah video menunjukkan bekas anggota tentera Israel (IDF) berdepan trauma peperangan kembali tular di media sosial baru-baru ini.
Ia dikatakan sebuah video yang dirakam sebelum berlakunya insiden genosid berterusan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin bermula 7 Oktober lalu.
Video itu memaparkan perbincangan beberapa individu sama ada bekas askar Israel atau waris mereka dalam perjumpaan dengan Jawatankuasa Parlimen Israel.
Rata-rata menzahirkan kekecewaan dengan pelbagai reaksi kepada jawatankuasa itu dengan ada yang tenang menyampaikan permasalahan mereka serta ada yang sedih dan marah menceritakan apa yang dilalui.
Antara individu terlibat adalah Alon Saar, anak kepada askar bernama Ronen Saar yang berada dalam keadaan kritikal selama sebulan disebabkan cubaan membunuh diri sehingga mencecah sepuluh kali.
Alon mempersoalkan tindakan mereka yang bertanggungjawab terhadap anggota tentera rejim zionis Israel yang terkesan dengan peperangan.
“Mengapa mereka tidak dirawat?, mengapa tidak disediakan penyelesaian untuk keluarga mereka?,” kata Alon.
Seorang lelaki lain turut dilihat menangis meminta konflik Israel-Palestin diselesaikan segera kerana dia pernah menyaksikan tentera Israel terbakar di medan perang.
Video itu juga menunjukkan individu lain mendakwa 20 tentera rejim Israel yang trauma akibat perang telah membunuh diri kerana tidak menemui jalan penyelesaian, yang mana menurut lelaki itu, “disebabkan kecuaian besar Kementerian Tentera Darat”.
Gambar wajah Bar Kelf, seorang askar IDF yang mati kerana kecederaan membakar dirinya 1 Ogos lalu serta Arou Danino yang membunuh diri kerana trauma perang, turut ditunjukkan dalam video tular itu. – The Merdeka Times
Sumber: Instagram AmanPalestin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan