Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kajang: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff memaklumkan sudah mendedahkan identiti Mr H kepada pihak polis.
Mohammad Agus berkata, beliau juga membuat satu lagi laporan polis berhubung penularan laporan dibuatnya sebelum ini berkaitan video perbualan lucah miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.
"Saya sudah berjumpa dengan pegawai penyiasat dan selesai diambil keterangan. Saya juga sudah mendedahkan siapa Mr H untuk siasatan pihak polis.
"Saya juga ada buat laporan polis terhadap Raja Petra berkaitan (video) Tik Tok tular pagi ini, ia berkaitan laporan polis saya sebelum ini terdedah dengan maklumat peribadi yang dikira membahayakan keselamatan diri dan keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai bila kakitangan J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani akan membuat laporan polis, Mohammad Agus menyatakan beliau tidak tahu mengenai perkara itu.
Terdahulu, Mohammad Agus yang memakai baju kemeja berwarna biru tiba di IPD Kajang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan ditemani peguam, Faizal Abd Rahman jam 2 petang.
Beliau dilihat keluar dari IPD berkenaan jam 5.25 petang selepas lebih dua jam diambil keterangan.
Puluhan media berkampung di luar perkarangan IPD berkenaan seawal jam 1 petang untuk menunggu Mohammad Agus.
Sebelum ini, media melaporkan Polis Selangor menerima laporan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan dua individu termasuk seorang yang mirip Mohammad Agus.
Sebelum itu, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak Khamis lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.
Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan