Anggota tentera tak mengaku cabul pekerja kantin kem

Abdul Rahemang Taiming
bhnews@bh.com.my
Tertuduh, Muhammad Afiq Ikhwan, 23, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan wanita berumur 21 tahun pada 3 Mei lalu. NSTP / Abdul Rahemang Taiming.
Tertuduh, Muhammad Afiq Ikhwan, 23, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan wanita berumur 21 tahun pada 3 Mei lalu. NSTP / Abdul Rahemang Taiming.
TAWAU: Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan pekerja ibu mentuanya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di sini pada Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Afiq Ikhwan Mohamad Zukhi, 23, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi maksud mencabul kehormatan wanita berumur 21 tahun, di Taman Megah Jaya, di sini, pada jam 5.00 pagi, 3 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun, mencadangkan jaminan RM10,000 dengan dua orang penjamin tempatan berserta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jhassery P. Khang, yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua orang penjamin selain syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa yang juga pekerja kepada ibu mentua tertuduh di kantin sebuah kem tentera di sini dan ketika kejadian tertuduh dikatakan memasuki bilik mangsa yang sedang tidur sebelum mencabul kehormatan wanita itu.

Bagaimanapun, kejadian itu disedari isteri serta ibu mentuanya. Tertuduh ditangkap kira-kira jam 2 petang pada hari sama susulan laporan dibuat mangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan