SINAR HARIAN
Diaz Flores pernah bertempur dengan pasukan neo-Nazi di Ukraine. - Foto: Agensi
MADRID - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) didakwa menggunakan perkhidmatan tentera upahan asing untuk menyertai kempen keganasan ke atas Genting Gaza yang telah meragut lebih 10,000 nyawa dalam tempoh sebulan.
Perkara itu didedahkan akhbar utama di Sepanyol, El Mundo berdasarkan wawancara bersama askar upahan terkenal, Pedro Diaz Flores.
"Saya sertai mereka kerana wang. Mereka beri bayaran yang tinggi berjumlah 3,900 euro (RM19,463) seminggu dan peralatan ditawarkan adalah baik. Tugasnya juga tidak sukar," katanya ketika menjelaskan motif sebenar menyertai operasi Israel.
Sebelum ini, Diaz Flores pernah bertempur dengan pasukan neo-Nazi di Ukraine selepas Rusia melancarkan 'operasi khas' di wilayah Donbas pada tahun lalu.
"Kami hanya memberikan sokongan keselamatan kepada konvoi senjata atau anggota IDF di Gaza. Kami tidak memerangi Hamas secara langsung atau terlibat operasi serangan," jelasnya.
Menurutnya, askar upahan turut ditempatkan di pos pemeriksaan keselamatan dan pusat kawalan akses di sempadan Gaza serta Jordan.
"Terdapat banyak syarikat tentera swasta (PMC) beroperasi di Tel Aviv dan 'saling bekerjasama'. Secara teknikal, pasukan itu mengawal terminal antara Eliat dan Aqaba," ujarnya lagi.
Pendedahan itu dibuat selepas spekulasi tentang penyertaan askar upahan yang sebelum ini berkhidmat di Ukraine setelah tumpuan Barat kini beralih dari Kiev ke Israel.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut mengiyakan perkara itu melalui kenyataannya pada Sabtu lalu.
"Sudah jelas perang di Asia Barat telah mengalihkan tumpuan ramai daripada konflik Rusia-Ukraine," jelasnya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan