Boleh hina saya di luar, bukan di dalam Dewan Rakyat - Speaker

Alyaa Alhadjri, Raveena Nagotra & Shamz Johan

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul hari ini berkata mana-mana individu bebas mengkritiknya di luar Dewan Rakyat, kerana fokus utamanya kekal kepada tugasnya mempengerusikan persidangan parlimen.

Johari berkata, tidak seperti pendahulunya, dia hanya akan menjawab perkara yang dibangkitkan terhadapnya jika dibuat di dalam Dewan Rakyat.

“Saya berbeza dengan tan sri sebelum-sebelum ini. Apa-apa juga yang diungkapkan dalam Dewan ini yang mempersoalkan kewibawaan dan keputusan saya, saya akan bertindak.

"Namun begitu sesiapapun boleh hina saya di luar. Boleh panggil saya unqualified (tidak layak), boleh panggil saya tidak berpendidikan. Tidak menjadi satu isu. Saya berkhidmat untuk Dewan ini. Di luar terpulanglah,” kata Johari menjawab RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) pagi tadi.

Rayer telah memetik kenyataan Hamzah Zainudin yang dilaporkan pada hari Jumaat, bahawa Johari adalah Speaker pertama yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang, dan pendahulunya Azhar Azizan Harun menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam jawatan itu kerana dia "bukan ahli politik".

“Saya di sini buta warna. Sebelah kanan saya bertanggungjawab, sebelah kiri juga saya bertanggungjawab. Saya diletakkan di sini sebagai seorang insan yang mengendalikan perjalanan agar keputusan yang kita ambil akan memanfaatkan rakyat,” kata Johari.

"YB nak main politik, mainlah. Jangan libatkan saya," katanya.

Dalam mendapatkan jawapan Johari, Rayer turut memetik preseden bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia mengenai tindakan yang diambil terhadap seorang ahli parlimen berhubung kenyataan yang dibuat di luar Dewan.

Ketika dihubungi, Rayer berkata dia merujuk kepada insiden 2016 antara Lim Lip Eng (PH-Kepong) sebagai ahli parlimen Segambut ketika itu dan Pandikar.

Lim pada masa itu berisiko digantung enam bulan kerana "menghina" Pandikar, sebelum usul kerajaan ditarik balik berikutan permohonan maafnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan