Wang Ping
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah kembali kepada perangai lamanya, malah semakin teruk lagi, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Lim mengulas kenyataan Mahathir sebelum ini bahawa bekas pengerusi Bersatu itu dan DAP hanya saling menggunakan antara satu sama lain pada 2018 untuk menghadapi pentadbiran Najib Razak.
“Kita fikir beliau telah berubah dan bersedia untuk menrima tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang dan kerajaan yang bersih. Tetapi nampaknya, beliau kembali lagi (kepada cara lamanya).
“Kita fikir beliau sudah berubah. Namun, beliau tidak berubah. Malah, beliau menjadi semakin lebih teruk,” kata Lim.
Dia menjawab soalan pemberita selepas pelancaran buku ‘Lim Kit Siang: Malaysian First: Volume 2: Bold to The Last Battle’ oleh Kee Thuan Chye di kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur hari ini.
Lim diminta mengulas kenyataan Mahathir dan sekiranya DAP membuat keputusan yang tepat untuk bekerjasama dengan Mahathir pada 2018.
Pada 13 Nov, semasa temu bual di podcast ‘Keluar Sekejap’, Mahathir berkata dia dan DAP hanya menggunakan satu sama lain pada 2018 untuk mencapai matlamat bersama menjatuhkan perdana menteri ketika itu Najib Razak.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyifatkan kerjasama mereka dengan Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sebagai ikhlas.
Loke berkata pihaknya berharap Mahathir telah berubah dan membawa perubahan, bukan semata-mata untuk menumbangkan perdana menteri ketika itu.
Semasa wawancara rancangan ‘Keluar Sekejap’ Mahathir juga berkata orang bukan Melayu harus berasimilasi dengan “menjadi Melayu” dan menjadi sebahagian daripada “Bangsa Malaysia."
Menjawab perkara ini, Lim memberitahu pemberita bahawa Mahathir harus membaca ucapannya sendiri mengenai inisiatif Wawasan 2020.
Mahathir ketika berucap melancarkan Wawasan 2020 pada 1991, menyebut:
“Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bersatu padu, dengan masyarakat Malaysia yang berkeyakinan, diterapkan dengan nilai moral dan etika yang kuat, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertoleransi, saling peduli, dengan ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan makmur, memiliki ekonomi yang berdaya saing, dinamik, berketahanan, dan mampan.
“Tidak akan ada sebuah Malaysia yang benar-benar maju sehingga kita berjaya mengatasi sembilan cabaran strategik utama yang ada di hadapan kita sejak dari permulaan negara kita sebagai sebuah negara yang merdeka.
“Cabaran yang pertama adalah untuk menubuhkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu, dengan identiti dan cita-cita yang dikongsi bersama.
"Negara ini perlulah berdamai dengan diri sendirinya, terintegrasi dari segi wilayah dan etnik, hidup dalam harmoni dan dengan perkongsian penuh dan adil, dibentuk oleh ‘Bangsa Malaysia’ dengan kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara,” kata Mahathir ketika menjadi perdana menteri kali pertama dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan