FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis Perlis menahan seorang lelaki yang disyaki menumbuk isteri dan anak lelakinya selepas perbuatannya cuba membawa masuk wanita lain ke dalam bilik tidur di rumah mereka disedari mangsa.
Ketua Polis Arau Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, dalam kejadian pada Selasa lalu itu, mangsa yang berusia 53 tahun baru pulang ke rumah sebelum mendapati suaminya cuba menyembunyikan seorang wanita di dalam bilik air, lapor Sinar Harian.
Katanya, mangsa yang terkejut cuba merakamkan perbuatan suaminya yang berusia 53 tahun itu dengan telefon bimbit sehingga berlaku pergelutan antara mereka.
“Suspek yang berang kemudian merampas dan membuang telefon bimbit mangsa ke lantai sehingga pecah sebelum menyiku atas bahu, menampar dan menumbuk muka mangsa sehingga terjatuh dan cedera.
“Semasa kejadian, anak lelaki mereka yang berusia 16 tahun cuba membantu, namun suspek bertindak mencekik leher dan menumbuk dada serta mulut remaja itu sehingga mengalami kecederaan,” katanya.
Mohsin berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Arau sebelum dia bersama anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Kangar.
Katanya, suspek yang tidak bekerja itu ditahan polis dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan