Peguam: ‘Individu tertentu’ cari Wahab

Faisal Asyraf
Pegawai J-Kom Abdul Wahab Abdul Kadir berkata dia bimbang keselamatannya di tengah-tengah siasatan polis terhadap video tular.
PETALING JAYA: Penolong Pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir yang dikaitkan kontroversi berhubung video tular dengan bekas ketua pengarahnya baru-baru ini, tidak dapat membantu siasatan polis kerana bimbang keselamatannya, kata peguam.

Faizal Rahman berkata, ketika Ketua Polis Negara Razarudin Husain menggesa Wahab tampil membantu siasatan, anak guamnya bimbang dia “dicari” oleh dua kumpulan individu di rumahnya.

“Satu kumpulan mendakwa sebagai anggota polis berpakaian biasa, tetapi mereka enggan menunjukkan kad kuasa,” katanya kepada FMT.

“Kumpulan lain mendakwa dari parti politik. Kedua-dua kumpulan itu mencurigakan,” katanya sambil menambah identiti sebenar mereka masih tidak diketahui.

Sebelum ini, tular klip video memaparkan perbualan didakwa lucah seorang lelaki didakwa mirip bekas ketua pengarah J-Kom Agus Yusoff dengan Wahab, selepas timbul spekulasi Agus akan melepaskan jawatannya.

Polis sedang menyiasat video itu yang mana Agus dan Wahab mendakwa ia disuai pinda.

Agus berkata, beliau sudah mendedahkan kepada polis identiti individu di sebalik klip video itu – seorang digelar “Mr H”.

Dia juga membuat laporan polis berhubung klip video penulis blog Raja Petra Kamarudin yang mendedahkan laporan awal polis dan maklumat peribadinya.

Faizal berkata, Wahab tidak akan membuat laporan berhubung kumpulan yang mendekatinya sementara menunggu siasatan polis terhadap “Mr H” serta laporan kedua Agus mengenai kebocoran laporan asalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan