Rating penerimaan Anwar masih baik berbanding Muhyiddin, dakwa bekas menteri
Salleh Said Keruak berkata perdana menteri ‘tidak perlu bimbang’ selagi mana Muhyiddin Yassin menjadi pencabarnya.
FMT Reporters
Rakyat akan terus memilih Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbanding seterunya, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin (kanan) jika mereka bertembung, kata bekas menteri.
PETALING JAYA: Bekas menteri, Salleh Syed Keruak mendakwa rating Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih memihak berbanding pencabarnya, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Salleh berkata demikian mengulas kaji selidik menunjukkan penerimaan rakyat terhadap Anwar berkurang.
Kaji selidik Merdeka Center memaparkan rating penerimaan Anwar menurun 18 poin sejak Disember, dan kini berada pada tahap 50%.
Dalam catatan Facebook, Salleh, yang juga bekas ketua menteri Sabah, berkata “tidak tepat untuk bercakap tentang rating penerimaan (Anwar) secara bersendirian” dan mendakwa rakyat masih memihaknya, berbanding Muhyiddin jika dua tokoh itu bertembung satu sama lain.
“Kebanyakan rakyat akan bersetuju sekiranya kita mahu menilai rating penerimaan serentak, Anwar akan 10 kali ganda lebih baik berbanding Muhyiddin,” katanya walaupun tiada data tersedia bagi menyokong dakwaan itu.
Ketika menjadi perdana menteri, rating penerimaan Muhyiddin mencapai kemuncak pada 67% pada April 2021. Bagaimanapun, selepas tanggapan orang ramai berubah pada bulan-bulan berikutnya selain anggota kerajaan menarik sokongan terhadapnya, Muhyiddin meletak jawatan pada Ogos dan memberi laluan kepada Ismail Sabri Yaakob dari Barisan Nasional.
“Ujian sebenar kepimpinan adalah ketika krisis,” kata Salleh.
Katanya, ketika pandemik, pimpinan Muhyiddin mengakibatkan ramai rakyat menderita kerana perintah penutupan.
“(Anwar) tidak perlu bimbang selagi mana Muhyiddin menjadi pencabarnya.”
Sebelum ini, Anwar mempertikaikan dapatan kaji selidik berkenaan, sambil menegaskan saiz sampel kira-kira 1,200 responden disifatkan terlalu kecil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan