Program ramal banjir Malaysia gagal?

Program ramal banjir gagal, kata penduduk Taman Sri Muda
Penduduk Taman Sri Muda mengkritik Program Ramalan dan Amaran Banjir yang dilaporkan cuma mempunyai ketepatan 5.6% walaupun menelan perbelanjaan RM145 juta.

Naveen Prabu

PETALING JAYA: Mangsa banjir Taman Sri Muda, Shah Alam, menyuarakan rasa tidak puas hati dengan Fasa 1 Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) meliputi lembangan sungai di Kelantan, Terengganu, dan Pahang yang disifatkan sebagai satu pembaziran.

Taman Sri Muda di ibu negeri Selangor mengalami banjir teruk pada Disember 2021 yang meragut belasan nyawa dan mengakibatkan kerosakan bernilai jutaan ringgit.

Walaupun Putrajaya memperuntukkan RM145 juta untuk fasa pertama PRAB, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini mendedahkan ketepatan ramalan program itu cuma 5.6% dengan keupayaan terhad untuk mengeluarkan amaran dua hari lebih sebelum bencana diramalkan berlaku.

Aimi Latiff, bekas penduduk Taman Sri Muda berkata, melabur dalam program yang hanya mempunyai kadar ketepatan 5.6% adalah satu pembaziran.

“Memanglah tidak berbaloi kerana begitu banyak wang dihabiskan.

“Sepatutnya anda belanjakan wang ke arah isu mitigasi sebenar,” katanya kepada FMT, dengan menambah komuniti di situ kini mengambil inisiatif mengekang banjir kilat tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan.

Siti Aisyah, seorang lagi mangsa banjir Taman Sri Muda berkata, walaupun setiap tahun ada pengumuman mengenai dana pengurusan banjir, tiada kemajuan yang jelas dapat dilihat dari segi penggunaan wang berkenaan.

“Dana itu sekadar dibazirkan. Jika ada usaha nyata dibuat, pasti orang ramai dapat melihatnya.

“Kami kecewa dan keliru,” katanya.

Sementara itu, Nithi Prasad, mangsa banjir di Kampung Rawa Pulau Pinang berkata, Malaysia patut mengguna pakai strategi pengurusan banjir seperti Singapura, seperti membina penghadang banjir untuk lebih bersedia menghadapi hujan lebat dan banjir kilat.

Faizal Parish Abdullah, pengarah organisasi perlindungan alam sekitar, Global Environment Centre menyuarakan kekecewaan dengan kadar ketepatan PRAB yang cuma 5.6%.

“Pasti sistem lebih baik diperlukan,” katanya kepada FMT dengan menambah masalah utama disebabkan perubahan iklim yang mengakibatkan peningkatan cuaca pantas dan ekstrem.

“Apabila berlaku kejadian ekstrem, termasuk seperti yang dialami dalam dua tahun kebelakangan ini, sukar untuk membuat ramalan khususnya dari segi lokasi tepat dan keterukan.

“Ini antara cabaran utama dihadapi JPS dan perunding mereka,” katanya merujuk kepada Jabatan Parit dan Saliran yang menyelaraskan dan memantau program berkenaan.

Beliau turut menasihatkan pihak berwajib yang membangunkan sistem itu supaya menjelaskan cabaran dihadapi dan berusaha mengekalkan keyakinan umum.

“Kita perlu lakukan lebih baik daripada kadar ketepatan 5.6% ini,” katanya.

PRAB dijadual dilaksanakan dalam tiga fasa dengan yang pertama bermula pada 2015 dan dijangka berterusan sehingga 2024, menumpukan di Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang.

Pembangunan Fasa 2 bermula pada 2018 merangkumi 38 lembangan sungai di seluruh negara, dan dijadualkan siap menjelang 2025.

JPS merancang memperluas skop PRAB untuk turut meliputi lembangan sungai di Sabah dan Sarawak dalam fasa ketiganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan