Ramai risau kesan kenyataan kaitkan Kuan Yew dengan komunis

Shakira Buang, Alyaa Alhadjri & Raveena Nagotra

RSN Rayer (PH-Jelutong) mendakwa ramai ahli perniagaan Malaysia di Singapura mengeluh dan mulai bimbang produk yang diusahakan mereka akan dipulaukan rakyat di republik itu.

Kata Rayer keadaan itu susulan "keceluparan" seorang ahli parlimen pembangkang di negara ini yang mengaitkan bekas perdana menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew dengan gerakan komunis.

Meskipun tidak menamakan ahli parlimen terbabit, dipercayai Rayer merujuk kepada Siti Mastura Mohamad (PN-Kepala Batas) yang menarik perhatian ramai baru-baru ini.

“Saya ingin tanya, adakah kenyataan seorang ahli parlimen yang dibuat baru-baru ini yang mengaitkan Lee Kuan Yew dengan komunis akan menyebabkan apa-apa masalah atas usaha usaha yang telah dilaporkan (kerajaan) ekoran keceluparan ahli Parlimen ini mungkin menyebabkan perniagaan dua hala di antara Singapura dan Malaysia ini (akan terjejas).

“Kalau boleh saya ingin bertanya kepada menteri bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini (kesan kenyataan ahli parlimen terbabit) supaya produk-produk Malaysia terutama yang disediakan oleh SME Corp diterima oleh Singapura,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan belanjawan berkenaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Dewan Rakyat hari ini.

Baru-baru ini Siti Mastura mengaitkan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dengan Kuan Yew.

Dia juga mendakwa Kit Siang dan Guan Eng memiliki hubungan kekeluargaan dengan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng - atau nama sebenarnya Ong Boon Hua.

Kenyataan dibuat Rayer itu mendorong Siti Mastura bangkit dan meminta ahli parlimen DAP terbabit menarik balik kenyataannya berdasarkan peraturan mesyuarat (standing order).

Siti Mastura yang juga pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Pusat mendakwa kenyataan dibuat Rayer bersifat sangkaan jahat.

"Saya mohon kepada Jelutong (Rayer) untuk menarik (balik) perkara tersebut.

“Saya telah memberi keterangan (kepada polis) dan belum ada apa-apa keputusan lagi. Jadi saya mohon untuk kepada Jelutong tarik balik kenyataan tersebut,” katanya.

Siapa makan cili rasa pedas

Pun begitu Rayer mempertahankan diri dengan mendakwa dia tidak menyebut atau menyentuh mana-mana ahli parlimen secara khusus, justeru tidak ada sebab untuk dia menurut kemahuan Siti Mastura.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau yang mempengerusikan persidangan ketika itu meminta Siti Mastura duduk agar Rayer dapat meneruskan perbahasannya.

Rayer kemudian 'menasihatkan' Siti Mastura agar tidak melenting dengan kenyataan dibuatnya kerana dia tidak merujuk kepada sesiapa secara spesifik.

“Jangan perasan, sila duduk. Siapa yang makan cili, rasa pedas dan duduk saya tak sebut (nama) Kepala Batas.

“Saya bangun (berbahas) sebab saya sedar perniagaan di antara Malaysia dan Singapura sangat penting," katanya semasa menyentuh butiran perbekalan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp).

Tambah Rayer media melaporkan pada 30 Okt lalu kerajaan Malaysia - yang diwakili Perdana Menteri Anwar Ibrahim - menandatangani memorandum persefahaman dengan Singapura.

Dengan kenyataan berkaitan, kata Rayer, ramai ahli perniagaan - yang kebanyakannya Melayu mengeluh produk-produk mereka mungkin dipulaukan oleh Singapura.

"Kalau boleh saya ingin bertanya kepada menteri, bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini supaya produk-produk Malaysia terutama yang disediakan oleh SME Corp diterima oleh Singapura,” tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan