Rangka manusia dipercayai warga Indonesia ditemui dalam belukar

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
Rangka manusia milik warga Indonesia ditemui di kawasan belukar berhampiran sub stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Height, di sini semalam. NSTP/Ihsan PDRM
Rangka manusia milik warga Indonesia ditemui di kawasan belukar berhampiran sub stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Height, di sini semalam. NSTP/Ihsan PDRM
KUALA LUMPUR: Rangka manusia dipercayai seorang lelaki warga asing ditemui di kawasan belukar bawah jambatan di Jalan Persiaran Putra Harmoni, Putra Height dekat sini, semalam.

Rangka ditemui oleh orang awam yang baru selesai menjalankan kerja penyelenggaraan sistem LRT Sub Stesen Putra Height yang terletak berhampiran, kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata rangka manusia itu ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap bersama dokumen pengenalan diri.

"Mangsa memakai kemeja-T berwarna biru serta singlet putih dan berseluar denim biru. Bersebelahan rangka si mati, terdapat beg galas berwarna hitam mengandungi barang keperluan diri seperti pakaian disyaki milik si mati.

"Kita turut menemui dompet pada poket hadapan seluar mangsa mengandungi kad pengenalan diri dengan butiran nama Riki Mandaguna, berusia 40 tahun dan berasal dari Kota Samarinda, Kisaran, Indonesia," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal antara tiga hingga enam minggu sebelum rangkanya ditemui, semalam.

"Rangka manusia itu kemudian dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Serdang untuk proses siasat dan buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Semakan mendapati setakat ini pihak polis tidak ada menerima laporan orang hilang membabitkan mangsa," katanya yang turut memaklumkan siasatan lanjut kini sedang dijalankan.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Ruzaizi A Ghani di talian 017-6762338 atau menghubungi Balai Polis Putra Height di talian 03-5191374.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan