OTHMAN YAHAYA
MANGSA lelaki Bangladesh terbaring akibat cedera parah di kepala dilanggar sebuah kereta di Kilometer 35.2 Jalan Butterworth-Alor Setar, Gurun malam tadi.
GURUN – Tindakan seorang lelaki Bangladesh berbaring di jalan raya walaupun hanya mengalami kecederaan ringan selepas dilanggar motosikal bertukar tragis apabila digilis sebuah kereta di Kilometer 35.2 Jalan Butterworth-Alor Setar, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa berusia lingkungan 40-an yang mengalami kecederaan parah pada kepala dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Menurut saksi kejadian yang enggan dikenali, pada awalnya mangsa berjalan kaki melintas dari kiri ke kanan jalan sebelum dilanggar sebuah motosikal ditunggangi seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kota Sarang Semut.
“Bagaimanapun perlanggaran itu tidak melibatkan kecederaan serius tetapi mangsa enggan diangkat dan dibawa ke tepi oleh orang ramai di lokasi kejadian.
“Beberapa saat kemudian dia bernasib malang apabila sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu laju dari arah Alor Setar hilang kawalan sebaik menghampiri lokasi itu dan melanggar mangsa menyebabkan dia tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pemandu kereta yang belum dikenal pasti itu kemudian melarikan diri dan kejadian sempat dirakam seorang pengguna laluan itu sebelum video berdurasi 12 saat tersebut tular di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian terdapat seorang lelaki tempatan mengawasi lalu lintas di situ.
“Sebuah kereta dipercayai hilang kawalan ketika menghampiri lokasi kejadian nyaris merempuh lelaki terbabit tetapi sempat dielak sebelum melanggar mangsa yang terbaring di situ,” katanya.
Tambahnya, pemandu kereta itu bertindak melarikan diri selepas kejadian manakala mangsa dihantar mendapatkan rawatan di HSAH.
“Kita sedang mendapatkan keterangan daripada saksi kejadian selain menjejaki pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian langgar lari itu untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan