Selepas membunuh guna lebih RM224 bilion, gencatan senjata bermula 1 tengah hari ini

HarapanDaily.com

Selepas negara pengganas, Israel berbelanja lebih RM224 bilion untuk membunuh rakyat di Gaza, gencatan senjata di wilayah musnah teruk itu berkuatkuasa selama empat hari bermula hari ini.

Lapor AFP memetik pengantara Qatar, pertukaran tebusan dan tahanan akan menyusul beberapa jam kemudian.

Sepatutnya berkuat kuasa semalam, perjanjian gencatan senjata yang difasilitasi oleh Qatar dengan bantuan Mesir dan Amerika Syarikat (AS) itu ditangguhkan selepas halangan saat akhir.

“Jeda akan bermula pada 7 pagi (0500 GMT) pada Jumaat (1 tengah hari waktu Malaysia)… dan kumpulan pertama tebusan awam akan diserahkan kira-kira jam 4 petang (1400 GMT) (10 malam waktu Malaysia),” kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari semalam.

Pada peringkat permulaan, 13 orang akan dibebaskan membabitkan wanita dan kanak-kanak daripada keluarga sama, kata Ansari pada sidang akhbar di Doha.

Banduan Palestin yang ditahan di penjara Israel juga akan dibebaskan hari ini, katanya, sambil menambah senarai nama banduan telah diluluskan, tanpa menyatakan bilangannya.

Dalam masa sama, Ansari memaklumkan “langit akan cerah” daripada dron untuk tempoh masa ditetapkan bagi membolehkan pembebasan tebusan berlaku dalam persekitaran selamat.

Israel dan Palestin berperang sejak 7 Oktober, mengumumkan perjanjian pada 22 November membenarkan sekurang-kurangnya 50 tebusan dan puluhan tahanan Palestin dibebaskan ketika gencatan senjata.

“Dalam tempoh empat hari ini, maklumat akan dikumpul mengenai tebusan yang lain untuk mempertimbangkan kemungkinan lebih banyak pembebasan dan dengan itu melanjutkan jeda,” katanya.

Mengulas mengenai jeda, Ansari berkata ia memerlukan “gencatan senjata sepenuhnya, tanpa serangan dari udara atau darat,” sambil menambah beliau berharap “tidak akan ada pelanggaran.”

Perjanjian gencatan senjata akan berkuat kuasa secara berperingkat-peringkat yang boleh dilanjutkan dan diperluaskan serta bertujuan memberikan bantuan kepada 2.4 juta penduduk Gaza.

“Perjanjian itu, ia masih berkuat kuasa dan seperti yang dipersetujui,” kata Ansari.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, pada Khamis mengesahkan gencatan senjata akan bermula pada Jumaat, disertai dengan “pemberhentian semua tindakan ketenteraan dari Briged Qassam dan penentangan Palestin” ketika gencatan senjata.

Sepanjang gencatan senjata, ia berkata 50 tebusan membabitkan wanita dan lelaki berumur 18 tahun ke bawah akan dibebaskan, dengan tiga tahanan Palestin akan dibebaskan bagi setiap seorang daripada mereka.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh berikrar untuk meneruskan serangan terhadap Hamas sebaik sahaja gencatan senjata berakhir.

Malah, beberapa jam sebelum berkuatkuasanya gencatan senjata, Israel meneruskan serangan di seluruh Gaza ketika kekejaman pengganas penjajah itu telah mengorbankan lebih 14,800 sejak 7 Oktober lalu.

Tindakan jahat tentera pengganas Zionis terus berleluasa apabila mengebom generator Hospital Indonesia.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengatakan Hospital Indonesia di bawah “pengeboman sengit” manakala pembunuhan juga dilakukan di tempat perlindungan sekolah PBB menyebabkan sekurang-kurangnya lagi 27 mangsa dibunuh.

Israel dikatakan berbelanja sebanyak AS$48 bilion (RM224.59 bilion) untuk perang di Gaza sejak 7 Oktober lalu sekaligus kerugian kepada ekonomi rejim Zionis untuk tahun kewangan semasa.

Angka daripada Leader Capital Markets itu turut menyebut kemungkinan Israel akan menanggung dua pertiga daripada jumlah kos perang, dengan bahagian selebihnya ditanggung Amerika Syarikat dalam bentuk bantuan ketenteraan.

Lapor Anadolu, anggaran AS$48 bilion adalah lebih rendah daripada penilaian sebelumnya, termasuk pengumuman baru-baru ini oleh Majlis Ekonomi Negara Israel, menganggarkan kos perang terhadap ekonomi Israel berpotensi 200 bilion shekel (AS$54 bilion) (RM252.67 bilion).

Oktober lalu, Kementerian Kewangan Israel menganggarkan kos ekonomi perang membabitkan AS$270 juta (RM1.26 bilion) sehari menekankan bahawa tamatnya perang tidak bermakna kerugian terhenti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan