Selepas Zuraida mohon maaf kerana memfitnah, ini jawapan balas Saifuddin

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI

Pada semalam, bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Sesyen susulan fitnah yang dilemparkannya terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution pada Disember 2019.

Menjawab hal itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan permohonan maaf terbuka bekas Ahli Parlimen Ampang itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua ahli politik yang pernah terdetik untuk mengkhianat parti.

Kata beliau, penarikan balik kata-kata fitnah dilempar Zuraida jelas membuktikan ia bertujuan memudaratkan reputasi ke atas dirinya sebelum ini

Zuraida sebelum ini menuduh Saifuddin mengamalkan penipuan dan rasuah, menerima suapan berjuta-juta ringgit untuk menyertai Pas atau PKR atau untuk memegang jawatan di sektor awam.

Saifuddin memfailkan saman kerana Zuraida berniat jahat untuk memburukkan kewibawaan serta imejnya sebagai seorang ahli politik, kakitangan awam di kaca mata masyarakat umum, anggota PKR dan penyokong PH.

“Zuraida fitnah saya tinggalkan parti, dapat duit berjuta dari sewaktu berkhidmat di Tabung Tok Kenali dan segala macam lagi. Begitulah fitnah jahat yang diungkap dan dijaja.

“Saya ambil keputusan untuk lawan. Soal kesetiaan saya dalam perjuangan PKR jangan dipertikai, saya hanya beli tiket sehala sahaja sewaktu buat keputusan untuk bersama-sama perjuangan ini.

“Alhamdulillah, Zuraida telah kemuka permohonan maaf kepada saya dan menarik balik kata-kata fitnah yang diucapkan.

“Pengajarannya, usah khianat perjuangan, tiada yang hidup tenang dengan mengkhianati perjuangan. Kebenaran pasti menang jua akhirnya. Moga ini jadi pengajaran kepada sesiapa yang terdetik untuk khianat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Zuraida, 65, ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Norakhmar Mohd. Sani berkata, beliau telah menyatakan beberapa kenyataan terhadap Saifuddin Nasution, yang merupakan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, dalam suatu ucapan pada sebuah majlis makan malam di Hotel Renaissance di sini pada 8 Disember 2019.

“Atas saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap saya berkaitan dengan ucapan tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini dengan suatu kenyataan maaf secara terbuka di hadapan mahkamah ini

“Oleh yang demikian, saya dengan ini menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution dan juga memohon maaf kepada beliau,” kata Zuraida.

Mahkamah kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak serta melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari bermula semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan