Bharianonline
Penduduk setempat mencari mangsa yang terselamat di sebalik timbunan serpihan bangunan yang musnah di bedil Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam berkata regim Yahudi itu akan 'ambil alih sepenuhnya tanggungjawab keselamatan' di Gaza selepas perang dengan Hamas tamat.
"Israel akan, untuk tempoh yang tidak ditetapkan, akan bertanggung penuh terhadap keselamatan di keseluruhan Gaza.
"Apabila kita tidak memegang tanggungjawab keselamatan itu, apa yang berlaku ialah serangan Hamas pada skala yang tidak dapat dibayangkan," katanya dalam wawancara bersama ABC News semalam.
Walaupun terdapat gesaan global, antaranya daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dan pemimpin dunia lain supaya gencatan senjata diisytiharkan, Netanyahu menolak cadangan terbabit.
Beliau berkata, Israel hanya akan mempertimbangkan 'pemberhentian sementara bagi tujuan taktikal' di Gaza.
Jelasnya, ia bertujuan memudahkan kemasukan bantuan atau membawa keluar tebusan, namun tetap menolak gesaan gencatan senjata secara umum, walaupun terus berdepan tekanan antarabangsa.
"Tidak akan ada gencatan senjata di Gaza tanpa pembebasan tebusan kami. "Setakat menghentikan serangan seketika, sejam di sini dan sejam di sana, kami bersedia, malah pernah melakukannya sebelum ini," katanya.
Tambahnya, Israel mungkin bersetuju untuk menghentikan serangan seketika bagi membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza atau membolehkan tebusan meninggalkan wilayah Palestin yang terkepung.
Ditanya sama ada dia harus bertanggungjawab ke atas serangan pada 7 Oktober lalu, Netanyahu menjawab, sudah tentu.
"Ia bukan satu persoalan dan perlu diselesaikan selepas perang," katanya sambil menambah, kerajaannya secara jelas gagal memenuhi kewajipan untuk melindungi rakyat.
Ditanya mengenai potensi pemberhentian serangan untuk sementara waktu dengan idea itu turut disokong sekutu utama Israel, Amerika Syarikat (AS), Netanyahu berkata, gencatan senjata umum akan menghalang usaha perang negaranya.
"Saya rasa kita akan menyemak keadaan untuk membolehkan barangan termasuk bantuan kemanusiaan masuk atau membolehkan tebusan kita dikeluarkan," katanya.
Kedua-dua pihak, Israel dan Hamas yang mengawal Gaza menolak tekanan antarabangsa yang semakin meningkat supaya gencatan senjata diisytiharkan.
Pertubuhan antarabangsa berkata, hospital di Gaza tidak lagi mampu menampung bilangan penduduk yang mengalami kecederaan, dengan makanan serta bekalan air bersih habis berikutan penghantaran bantuan tidak mencukupi.
Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bermesyuarat secara tertutup semalam, di mana badan 15 anggota itu masih cuba untuk mempersetujui resolusi selepas empat kali berdepan kegagalan dalam tempoh dua minggu.
Kumpulan diplomat berkata, halangan utama UNSC adalah sama ada untuk menggesa gencatan senjata, pemberhentian permusuhan atau menghentikan serangan sementara untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan