Hishamuddin Aun
Buku ‘Bahan Kempen Komunikasi BN’ sempena PRU15 yang dikatakan jadi sumber rujukan untuk mengaitkan pemimpin DAP dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng terus menimbulkan misteri. Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Mohamad Hasan dikatakan bukan saja tidak tahu mengenai penerbitannya, malah tiada pengetahuan mengenainya.
Daripada kesahihan buku itu harus dapat menawarkan sedikit pencerahan, persoalan berterusan mengenainya hanya menambah kekeliruan, tambahan dengan kenyataan yang bercanggah di antara individu-individu yang terkait dengannya. Jika ia diterbitkan oleh Bahagian Komunikasi BN (BN Comms) seperti yang tercetak pada buku itu, mana mungkin pimpinan BN tidak tahu mengenainya melainkan mereka cuba berdalih atau mengamalkan ingatan terpilih.
Selain Mohamad, bekas ketua penerangan Umno Isham Jalil yang turut disoal polis tidak berasa risalah itu dikeluarkan BN. Beliau juga menjelaskan Bahagian Penerangan Umno dan Bahagian Komunikasi BN entiti berbeza di samping beliau belum menjadi ketua penerangan Umno ketika itu sedangkan pelantikannya hanya berkuatkuasa pada 20 November 2022.
Susulan sekurang-kurangnya empat laporan polis dibuat terhadapnya, Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad sudah dirakam percakapan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman 14 Nov lalu di samping menyerahkan bahan-bahan rujukan – difahamkan termasuk buku kempen BN itu – untuk membantu siasatan. Malah, Siti Mastura turut berpendirian tidak mengubah atau menarik balik butir-butir ucapannya.
Dua tuntutan saman sudah diterimanya daripada Guan Eng dan Kok di samping Kit Siang juga umumkan akan berbuat demikian, atas dakwaan ucapannya di Kemaman itu yang mengaitkan pemimpin DAP dengan komunis mengandungi fitnah. Buku ‘Bahan Kempen Komunikasi BN’ berkenaan awalnya didedahkan oleh AJK Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin pada laman Facebook miliknya 9 Nov lalu. Ini dituruti sidang akhbar Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan di Parlimen pada 16 Nov menggesa Guan Eng mengambil tindakan terhadap BN yang lebih dahulu mengaitkan pemimpin parti itu dengan Chin Peng seperti yang terkandung dalam buku berkenaan.
“Ahli Parlimen Kepala Batas diserang teruk oleh banyak pihak kerana ucapan menyatakan Chin Peng ialah sepupu Lim Kit Siang dan Lim Kuan Yew. Tahu atau tidak ‘Bozz Jebat’ Ketua Pemuda Umno Seremban yang keluar Umno dan menyertai PN melalui PAS menunjukkan saya buku rasmi Komunikasi BN. Dalamnya penuh fakta dan arahan kempen PRU15, antaranya ialah mengenai bagaimana DAP jahat dan memusuhi Islam serta Melayu,” kata Wan Saiful dalam catatan Facebooknya.
Bekas ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin yang turut hadir pada sidang akhbar Wan Saiful pada 16 Nov itu mengesahkan buku itu diberi kepada semua jentera kempen Umno sebelum penamaan calon PRU15 lagi. Beliau yang meletak jawatan dan keluar Umno pada 17 Disember tahun lalu turut membidas DAP kerana sekian lama tidak mengambil tindakan terhadap Umno berkaitan isu komunis.
Semalam, sidang DUN Pulau Pinang diberitahu bahawa BN tidak tahu-menahu mengenai buku yang didakwa diterbitkan unit komunikasinya yang mendakwa keluarga Kit Siang ada pertalian kekeluargaan dengan Chin Peng. Guan Eng (PH-Air Putih) berkata beliau bertemu Mohamad dan bertanya mengenai buku itu yang dipercayai digunakan dalam kempen PRU15. Katanya, Tok Mat memaklumkan tidak tahu dan tiada pengetahuan mengenai buku itu.
Guan Eng memberitahu sidang DUN itu bahawa dakwaan mengaitkannya dengan Chin Peng adalah berita palsu dan beliau akan mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang berbuat demikian. Ketua Pembangkang Muhamad Fauzi Yussoff (PN-Sungai Dua) berdiri mencelah dan menunjukkan buku yang mengaitkan Ahli Parlimen Bagan itu dengan Chin Peng.
Fauzi berkata buku itu digunakan sebagai panduan oleh banyak pihak sambil menambah: “Buku inilah menyebabkan berita palsu (tentang Guan Eng). Adakah semua parti bersetuju buku ini perlu dikenakan tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri?”
Guan Eng terus bertegas: “Ketua pembangkang dan Ahli Parlimen Kepala Batas masih berdegil mahu menggunakan buku itu sebagai rujukan. Adakah PAS parti yang melakukan fitnah? Bercakap biar berlandaskan fakta. Ini bukan fakta sebenar dan serangan peribadi terhadap saya dan keluarga.”
Kita nak tanya juga adakah di antara Tok Mat dan Zool Amali yang turut bersama di bawah Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan pada waktu itu, salah seorang tidak bercakap benar?
Apakah DAP yang bertanding sebagai gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU15 tidak mengetahui pengedaran buku berkenaan? Kenyataan Guan Eng menjelaskan memang mereka tidak menyedarinya kerana bertanding sebagai lawan BN ketika itu, tentunya mereka tidak akan berdiam diri.
Atau mungkinkah buku berkenaan tidak pun wujud ketika itu tetapi sengaja diadakan oleh pihak yang berkepentingan kemudian dengan tujuan melagakan Umno dengan DAP? Persoalan ini sudah pun dijawab Zool Amali yang mengatakan buku itu diberi kepada semua jentera kempen Umno sebelum penamaan calon PRU15 lagi. Mungkin ketua penerangan Umno ketika itu Shahril Sufian Hamdan atau lebih tepat lagi Pengarah Komunikasi BN Shamsul Anuar Nasarah dapat menawarkan pencerahan. Kedua-duanya masih belum membuka mulut.
Apa pun, Siti Mastura yang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berkait ucapannya yang dikatakan mengandungi kenyataan berunsur kebencian itu tidak boleh terlalu berharap untuk menggunakan maklumat dalam buku ‘Bahan Kempen Komunikasi BN’ itu sebagai disclaimer untuk mengelakkan tindakan.
Ia tetap menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan segala fakta adalah tepat dan tidak mengandungi fitnah sebelum berkongsinya dengan khalayak. Sama ada buku berkenaan diterbitkan BN Comms atau sebaliknya, Siti Mastura tetap ada tuduhan untuk dijawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan