Wahab buat laporan terhadap Mr H

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
ABDUL Wahab (kiri) bersama Faizal keluar selepas memberi keterangan di IPD Kajang. FOTO Aizuddin Saad
ABDUL Wahab (kiri) bersama Faizal keluar selepas memberi keterangan di IPD Kajang. FOTO Aizuddin Saad
Kajang: Kakitangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani membuat laporan terhadap Mr H berhubung penularan video perbualan lucah membabitkan dirinya pada 17 November lalu.

Peguam mewakili Abdul Wahab, Faizal Abd Rahman berkata, mereka hadir di Balai Polis Kajang bagi membuat laporan berkenaan 11 pagi tadi.

"Kita tampil hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membuat laporan terhadap Mr H dan Wahab datang sebagai pengadu untuk siasatan yang meliputi video tular dan perkara tambahan lain.

"Kita beri kerjasama dengan proses merakam percakapan dibuat pada hari ini lebih lama berbanding semalam memandangkan Wahab tampil sebagai saksi (semalam) dan hari ini sebagai pengadu.

"Perkara yang diadukan (dilaporkan) adalah sama, cuma skop soalan dan siasatan adalah lebih luas. Ia berkisarkan pada fasa sebelum dan selepas keberadaan (Wahab) dalam J-KOM ," katanya ketika ditemui di luar perkarangan IPD Kajang, di sini, selepas menemani Wahab membuat laporan serta mengambil keterangan, hari ini.

Mengulas mengenai identiti Mr H, Faizal berkata, pihaknya tidak sesuai untuk mendedahkan perkara itu.

"Bagi saya, pihak polis lebih sesuai mendedahkan perkara itu (identiti Mr H).

Beliau berharap supaya krisis itu dapt mencapai penyelesaian dengan kerjasama yang diberikan pihaknya sepanjang siasatan dijalankan.

"Setakat semalam dan hari ini, kita beri kejasama penuh dan saya tak nampak kenapa kertas siasatan itu perlu ditangguh lebih lama.

"Saya gembira apabila mendapat tahu Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) memaklumkan bahawa kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, esok," katanya.

Menurutnya, isu penularan video terbabit memberikan kesan buruk kepda pihak-pihak yang tidak terbabit dari awal.

"Hari ini kita cuma dedahkan satu nama sahaja iaitu Mr H walaupun pada sidang media sebelum ini, Wahab ada memaklumkan beberapa nama turut terbabit.

"Namun selepas meneliti fakta, kita percaya hanya Mr H sebenarnya dalang di sebalik krisis ini," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Wahab tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, 11 pagi tadi.

Semalam, peguamnya mengesahkan bahawa anak guamnya itu hadir ke Bukit Aman bagi proses rakaman percakapan berhubung kes fitnah membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zaid dipetik berkata, pihaknya sudah merakam percakapan tiga individu dalam kes berkenaan.

Tiga individu berkenaan adalah Mohammad Agus, Mr H dan pekerja sebuah hotel tempat sidang media antara Agus dan Wahab diadakan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan