Faiz Zainudin
Hafiz Norkhan (depan, kiri) dan Bada Hussein (depan, kanan) bercakap kepada media selepas membuat memberi keterangan di IPD Wangsa Maju hari ini.
KUALA LUMPUR: Seorang aktivis didakwa menyeleweng dana sumbangan dianggarkan lebih RM100,000, termasuk derma orang ramai kepada keluarga kanak-kanak 10 tahun, Dea Maisarah yang meninggal dunia ketika dirawat di hospital pada Julai lalu.
Peguam Hafiz Norkhan, berkata orang ramai menyumbang kepada keluarga Dea Maisarah lebih RM53,000 melalui akaun sebuah NGO yang dikendalikan aktivis itu.
“Apa yang menjadi persoalan dan pertikaian adalah bayaran dibuat pihak berkenaan (aktivis itu), termasuk kos peguam hanya RM20,000, manakala keluarga Dea melalui bapanya, Bada Hussein pula menerima RM5,000.
“Baki selebihnya daripada RM53,000 dana itu pula tidak pernah dijawab dan penjelasan secara rasmi juga tidak dibuat individu berkenaan,” katanya selepas memberi keterangan di IPD Wangsa Maju yang turut dihadiri Bada, susulan laporan polis dibuat mereka bulan lalu.
Dea Maisarah dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bersama bapanya pada 9 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Kes itu tular di media sosial susulan dakwaan kanak-kanak itu lewat dirawat kerana terpaksa menunggu lebih 40 minit sebelum sesak nafas, selain terpaksa diikat kerana meronta.
Hafiz berkata, keluarga Dea mendapatkan bantuan aktivis itu kerana yakin dengan lelaki terbabit yang lantang memperjuangkan kematian anaknya.
Selain kes Dea Maisarah, katanya, aktivis itu turut disyaki terbabit dalam beberapa kes penyelewengan lain seperti kes pembelaan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang enggan menerima vaksin.
Beliau berkata, firma guamannya turut membuat laporan polis terhadap aktivis itu yang mendiamkan diri dan menghilangkan diri sehingga kini.
“Kami sudah menyerahkan kepada pihak polis, termasuk bukti transaksi dibuat orang awam yang menunjukkan adanya penyelewengan dalam kes ini. Apa yang penting, kami bukan mahu mendesak pihak polis melakukan tangkapan, sebaliknya kami menuntut keadilan.
“Sebelum ini, rakan aktivis terbabit, iaitu pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Chai turut menuntut penjelasan RM28,000 yang dikutip NGO ditubuhkan aktivis berkenaan, namun dia mendiamkan diri tanpa memberikan penjelasan.”
Katanya polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.
“Kita menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika berdepan sebarang situasi kutipan sumbangan seperti ini.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan