Hishamuddin Aun
Sejurus pengumuman dibuat bahawa Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Azizah Maimunah Iskandariah akan datang dari meja ke meja untuk menyantuni hadirin, suasana di Ballroom Hotel Concorde Kuala Lumpur kelmarin jadi hingar-bingar seketika.
Ia adalah momen dinanti-nantikan mereka untuk beramah mesra dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam satu majlis yang dinamakan Sports Flame.
Dengan sejumlah 17 meja dan 177 hadirin, ia mengambil masa untuk pasangan diraja itu mendatangi setiap satu daripadanya. Tapi serta-merta sudu dan garfu diletakkan ketika jamuan petang berkenaan, dengan hadirin dilihat mengesat mulut mereka daripada sisa makanan kalau-kalau meja mereka didatangi Seri Paduka berdua pada bila-bila masa secara rawak.
Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengetepikan segala protokol untuk membuat semua mereka berasa selesa. Lelaki dan wanita, legenda dalam acara sukan masing-masing dari era 1960-an, 70-an dan awal 80-an yang semuanya dalam usia emas mereka, berpusu-pusu umpama kanak-kanak sekolah untuk bergambar dengan pasangan diraja berkenaan. Ia adalah pengalaman yang tidak mungkin mereka lupakan sepanjang hayat.
Ia memperlihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam keadaan bersahaja yang berbeza dengan acara rasmi yang lain, seolah-olah yang selayaknya diraikan ialah legenda sukan yang pernah mengharumkan nama negara di peringkat dunia, Olimpik, Asia dan serantau. Sultan Abdullah yang juga bekas ahli sukan dan pentadbir sukan berasakan Baginda juga sebahagian daripada mereka.
Setiap kali apabila Sultan Abdullah tidak dapat mengingati legenda sukan yang diperkenalkan kepadanya – jumlah mereka ramai sehingga hampir 180 orang — Tunku Azizah akan ‘menyelamatkan’ keadaan dengan bertanyakan latar belakang mereka atau memuji-muji penampilan legenda berkenaan.
Sports Flame adalah hasil inisiatif empat wartawan sukan veteran George Das, R Velu, Fauzi Omar dan Lazarus Rokk yang menganjurkan pertemuan dengan legenda sukan negara sejak 2011. Terhenti selepas 2018, ia diadakan semula selepas lima tahun, kali ini dengan sokongan FMT untuk menjadikannya satu majlis gala. Ia dikenali sebagai ‘perhimpunan terbesar legenda sukan negara’ kerana turut menggabungkan pegawai sukan, jurulatih dan wartawan veteran dari era 60-an hingga awal 80-an.
Antara legenda yang hadir termasuk M Jegathesan, Sri Shanmuganathan, R Yogeswaran, Kevin Nunis, Stephen van Huizen, Yew Cheng Hoe, James Selvaraj, Sylvia Ng, Marina Chin, Mumtaz Jaafar, Noraseela Khalid, Zaiton Othman, G Shanti, Santokh Singh, Bakri Ibni, Reduan Abdullah, Ng Peng Kong, Sonny Soh serta dua ikon dari Singapura, bekas jurulatih Jita Singh dan bekas kapten Samad Allapitchay.
Sultan Abdullah dalam titah ringkas baginda merakamkan sanjungan tertinggi khusus kepada legenda sukan, baik atlet mahupun pegawai, yang banyak berkorban untuk membawa kegemilangan buat negara. Baginda melahirkan rasa terharu melihat ada yang datang dengan berkerusi roda, bertongkat mahupun dipapah sebagai menunjukkan kecintaan mereka terhadap sukan tidak pernah padam. Walaupun dimaklumkan mengenai pencapaian gemilang sebahagian daripada mereka, Baginda tidak berpeluang menyantuni mereka pada masa lalu.
Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Das, Velu dan Fauzi yang menganjurkan Sports Flame tetapi sengaja meninggalkan satu nama lagi, Rokk. Dimaklumkan Rokk, pengacara majlis semalam, yang baginda tertinggal namanya, baginda secara berseloroh menjawab, “Saya bencikan dia” sebagai tanda keakraban kedua-duanya.
Memandang ke arah hadirin dari atas pentas, Sultan Abdullah turut memetik nama-nama wartawan, antaranya Mohsin Abdullah, Rizal Abdullah, Yong Soo Heong, Kamel Othman dan Johnson Fernandez yang banyak menulis mengenai Baginda ketika memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). “Paling kuat mengkritik saya ialah Hishamuddin (penulis). Tapi saya tidak kisah dengan kritikan, ia membentuk karakter saya,” kata Baginda.
“Pada masa lalu, saya harus katakan semua kritikan terhadap saya menjadikan saya seorang yang lebih baik. Anda semua (wartawan) membentuk karakter saya. Sepanjang tahun-tahun saya dalam bola sepak dan hoki, anda semua benar-benar membentuk karakter saya. Saya bukan saja jadi lebih kuat, malah jadi seorang yang lebih prihatin dan penyayang,” tambah Baginda.
Ketika Rokk mengumumkan majlis Sports Flame kelmarin turut menjadi kesempatan buat legenda sukan negara mengucapkan selamat berangkat pulang ke Pahang kepada Seri Paduka berdua (tempoh Sultan Abdullah di Istana Negara akan berakhir pada 30 Januari), kedengaran Tunku Azizah menuturkan di mikrofon, “Tinggal 51 hari lagi. Tapi janganlah apabila kami sudah pulang ke Pahang, kami tidak lagi mendapat undangan ke majlis ini.”
Harus dengan ingatan yang sama, apabila diminta naik ke pentas untuk menyumbangkan suara, Tunku Azizah memilih lagu Krisdayanti Menghitung Hari sebagai menyusuli lagi My Way sebelum itu. Sultan Abdullah turut menyanyikan lagu Bee Gees To Love Somebody yang diubah Baginda kepada To Love All Of You dan How Deep Is Your Love. Baginda berdua kemudian berpadu suara menyanyikan Lagu Hindi Kuch Kuch Hota Hai.
Di majlis itu, Sultan Abdullah turut mengungkapkan tempoh lima tahun Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
“Saya telah berkhidmat kepada rakyat. Saya memberikan seluruh jiwa raga saya kepada rakyat bersama Raja Permaisuri Agong. Tunku Azizah telah melakukan lebih daripada saya sebenarnya. Sudah tentu tiada Raja yang sempurna. Kami juga hanya manusia biasa. Kami cuba melakukan yang terbaik. Saya harap ketika kami sudah pulang ke Pahang, kami tidak dilupakan. Datanglah melawat kami di Pahang dan kita boleh adakan Sports Flame di Pahang pula suatu hari nanti,” kata Baginda.
Sultan Abdullah turut berpesan kepada legenda sukan negara agar sentiasa menjaga diri mereka. “Sambil kita meningkat usia dari hari ke hari, jagalah kesihatan dan pastikan anak cucu dan rakan-rakan ada bersama sentiasa.”
Di penghujung majlis kelmarin, Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada sebilangan legenda, termasuk M Mahendran, Brian Sta Maria, Mary Soo, C Paramalingam (hoki), Norsham Yoon (olahraga) dan Kwek Chew Peng (badminton).
Seri Paduka berdua berangkat meninggalkan majlis dengan rasa teruja menyantuni legenda sukan negara sambil bekas atlet, jurulatih dan pegawai dari era 60-an hingga awal 80-an pula pulang berbekalkan kenangan abadi.
“Majlis ini adalah seperti ucapan selamat berangkat pulang buat Seri Paduka berdua daripada keluarga sukan negara kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong terbaik yang kita pernah ada,” kata Rokk sebagai menutup bicara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan