Damia, Aisyah berpegangan tangan terjun ke sungai, sebelum hilang

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
OPERASI mencari Nur Damia Qiasara, 11, yang dikhuatiri lemas di sungai Kampung Petai Dusun, jam 6.30 petang. FOTO Syaherah Mustafa
OPERASI mencari Nur Damia Qiasara, 11, yang dikhuatiri lemas di sungai Kampung Petai Dusun, jam 6.30 petang. FOTO Syaherah Mustafa
Rantau Panjang: "Saya lihat Damia dan Aisyah berpegangan tangan terjun ke sungai sebelum mereka dilihat 'tenggelam timbul' dan hilang begitu sahaja," kata Nurin Natasha Qistina Mohd Fairul, 11.

Nurin adalah salah seorang saksi kejadian murid perempuan Tahun Lima, Siti Aisyah Mahzi yang ditemukan lemas, manakala rakannya, Nur Damia Qiasara Mohd Sabri, masih hilang selepas terjatuh di sungai Kampung Petai Dusun, di sini, jam 6.30 petang hari ini.

Katanya, dia sendiri terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sebelum memanggil bapa Nur Damia, Mohd Sabri Mohd Noor, 33, untuk memberitahu mengenai kejadian.

"Mereka berdua memang rakan baik yang selalu bersama-sama. Saya sudah melarangnya mereka untuk tidak terjun kerana bimbang melihat arus yang deras susulan sekarang adalah musim tengkujuh.

"Mungkin kerana teruja, mereka tidak mendengarnya dan terus terjun ke sungai ini.

"Tiada langsung kedengaran suara meminta tolong sebaliknya mereka terus dibawa arus sekelip mata.

"Saya sangat sedih apabila dimaklumkan Siti Aisyah sudah tiada kerana mereka berdua juga adalah sahabat baik saya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sungai Kampung Petai Dusun, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang murid perempuan Tahun Lima ditemukan lemas, manakala rakannya masih hilang selepas terjatuh di sungai Kampung Petai Dusun, di sini.

---------

Bapa terjun sungai cari Damia, yang ditemui Aisyah

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
MOHD Sabri dan isterinya Farah di lokasi anaknya dikhuatiri lemas di sungai Kampung Petai Dusun, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
MOHD Sabri dan isterinya Farah di lokasi anaknya dikhuatiri lemas di sungai Kampung Petai Dusun, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
Rantau Panjang: "Sebaik diberitahu anak saya, Damia lemas di sungai, saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan terjun mencarinya," luah Mohd Sabri Mohd Noor, 33.

Mohd Sabri berkata selepas setengah jam cuba mencari anaknya, Nur Damia Qiasara, 11, dia berjaya menemui kawan anaknya, Siti Aisyah Mahzi, 11, dan membawanya ke tebing sungai.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya salah seorang mangsa ditemui walaupun dimaklumkan sudah meninggal dunia.

"Namun, hati saya tidak tenang memikirkan nasib anak yang belum ditemui.

"Saya dan isteri, Farah Adnan, 32, tidak meninggalkan lokasi kejadian petang dan setia menunggu anggota penyelamat untuk misi mencari anak saya sehingga ke tengah malam.

"Kami tidak putus-putus berdoa semoga anak sulung kami segera ditemui tidak kira dalam keadaan apa sekali pun," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Sementara itu, Farah berkata anak sulung daripada tiga beradik itu ada memaklumkan kepadanya untuk keluar melihat air banjir.

"Saya sudah menasihatinya untuk tidak bermain air malah setahu saya dia tidak pernah mandi di sungai ini.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan berdoa semoga anak saya segera ditemui.

"Sebagai ibu, saya hanya mampu berdoa yang terbaik dan akan terus sabar menanti sehingga Nur Damia ditemui," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan