Dua bekas Adun Bersatu tidak tertakluk enakmen lompat parti

HarapanDaily.com
Dua bekas Adun Bersatu tidak tertakluk enakmen lompat parti
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengisytiharkan Enakmen AntiLompat Parti negeri itu tidak terpakai ke atas dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu dari BERSATU.

Hakim Anand Ponnudurai, dipetik FMT berkata, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (kiri) dan Zolkifly Md Lazim masing-masing kekal sebagai ADUN Bertam dan Telok Bahang antara Mei 2018 hingga Jun lalu.

Susulan itu, kedua-duanya layak menerima bayaran tertunggak sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan.

Menurut Anand, tindakan bertanding menggunakan logo PKR tidak melambangkan mereka adalah ahli parti itu.

Jelasnya, kedua-duanya juga tidak pernah meninggalkan Bersatu, menyebabkan Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang tidak terpakai ke atas Khaliq Mehtab dan Zolkifly.

Beliau berkata, hal tersebut wajar memandangkan keputusan mengosongkan kerusi mereka dibuat tanpa asas perundangan.

Namun, Anand menerusi penghakiman secara dalam talian menolak tuntutan sama dikemukakan Zulkifli Ibrahim dan Dr Afif Bahardin dengan menyatakan Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang terpakai ke atas bekas ADUN Sungai Acheh dan Seberang Jaya itu.

Katanya, kedua-dua kerusi DUN itu diisytiharkan kosong memandangkan bekas penyandangnya adalah ahli PKR yang meninggalkan parti itu.

Keempat-empat plaintif yang diwakili peguam Azizan Harun dan Chetan Jethwani, menamakan Yang Dipertua DUN Pulau Pinang merangkap ADUN Bukit Tambun ketika itu, Datuk Law Choo Kiang dan DUN Pulau Pinang sebagai defendan yang diwakili A Surendra Ananth.

Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih, selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan