Bhonline
BAITULMAQDIS: Hampir setengah juta rakyat Israel meninggalkan negara itu sejak tercetusnya konflik Gaza pada 7 Oktober, menurut sebuah akhbar tempatan semalam.
Pihak Berkuasa Penduduk dan Imigresen menganggarkan 370,000 orang meninggalkan Israel dalam tempoh dua bulan lalu, termasuk 230,309 pada Oktober dan 139,839 pada November, menurut majalah Zman.
Menurut majalah itu, kira-kira 600,000 warga Israel ke luar negara untuk bercuti sebelum meletusnya perang Gaza, manakala hampir 370,000 yang lain berlepas selepas konflik itu.
Hampir 301,982 warga Israel kembali ke Israel pada Oktober dan 194,016 pada November.
"Angka itu menunjukkan jumlah warga Israel yang pergi dan tidak pulang dianggarkan sekitar 470,000 orang.
"Oleh itu, terdapat penghijrahan negatif kira-kira setengah juta orang, dan ini tidak termasuk ribuan pekerja asing, pelarian dan diplomat yang meninggalkan negara ini," katanya.
Majalah Israel berkata konflik Gaza mengurangkan penghijrahan ke Israel dengan ketara.
Menurut data yang dikeluarkan Kementerian Aliyah dan Integrasi, kira-kira 2,000 orang berhijrah ke Israel antara 7 Oktober dan 29 November.
"Ini bersamaan hampir 1,000 pendatang sebulan, berbanding sekitar 4,500 sebulan secara purata sejak awal tahun ini sehingga meletusnya perang, mencerminkan penurunan lebih 70 peratus," kata akhbar itu.
Dalam minggu pertama perang Gaza, kemasukan ke Israel hampir terhenti, dengan hanya 1,096 pendatang tiba di Israel pada Oktober, kata Zman.
Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Gaza pada Jumaat lalu selepas berakhirnya jeda kemanusiaan selama seminggu dengan kumpulan Palestin Hamas.
Sekurang-kurangnya 16,248 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 43,616 lagi cedera dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti ke atas wilayah terkepung itu sejak 7 Oktober berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas.
Angka kematian Israel dalam serangan Hamas berjumlah 1,200, menurut angka rasmi. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan